Hobi Waktu Santai Membaca Jambatan Ilmu

Jika saya kenangkan kembali waktu bersekolah rendah dulu, hobi adalah salah satu topik dalam subjek dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Antara soalan yang selalu ditanya ialah apakah hobi kamu? Sudah pastilah bila adanya soalan itu keluar, saya baru berfikir apakah hobi yang saya suka buat di masa lapang. Ianya seperti reverse psychology bila sudah ditanya barulah kita merancang untuk melakukannya. Setelah berfikir dan menilai akhirnya membaca buku adalah hobi yang saya suka lakukan dan idea untuk menjawab soalan tadi dapat disempurnakan dengan baik. 

Hobi membaca saya bermula sewaktu zaman sekolah dan mengukuhkan minat saya lagi ketika itu kerana dengan membaca saya boleh meningkatkan markah peperiksaan saya. Apabila meningkat dewasa saya masih mengekalkan hobi yang sama iaitu membaca buku. Sebelum berkahwin saya akan peruntukkan dalam RM50-100 untuk membeli majalah seperti Nona, Wanita, Mingguan Wanita dan Anjung Seri. Saya minat membaca majalah dan buku sahaja dan tidak meminati novel. Dulu kalau ada masa yang terluang dan kebetulan saya kerja di KLCC, kedai buku Kinokuniya adalah tempat kegemaran saya meluangkan masa dengan membaca majalah dan buku di sana. Tetapi setelah berkahwin, masa saya untuk membaca semakin berkurangan kerana tumpuan saya lebih kepada anak yang masih kecil.

Apabila dunia internet semakin berleluasa, minat membaca buku sudah beralih kepada membaca facebook dan internet. Sehinggalah membuatkan saya kembali membaca apabila pekerjaan saya sekarang  memerlukan saya banyak membaca tetapi bacaan saya menjurus kepada pekerjaan. Saya amat meminati buku-buku motivasi dan sekarang sudah beralih kepada membaca buku-buku keagamaan untuk melengkapkan ilmu akhirat dan  yang terkini penulisan saya di dalam web juga banyak membuatkan saya harus banyak membaca buku tentang percutian (Travel) untuk menghasilkan penulisan yang baik. Dengan penulisan saya ini dengan membaca ia membantu saya mencari bahan dalam menulis sesuatu dengan harapan semakin banyak informasi yang saya dapatkan dari membaca buku, diharapkan satu hari nanti semakin baik karya penulisan yang boleh saya hasilkan.  

Kebaikan membaca ialah mengetahui perkembangan terkini dan menambahkan ilmu pengetahuan. Contohnya apabila kita membaca surat khabar, kita akan mengetahui berita semasa di dalam dan di luar negara sama ada berita tentang ekonomi, politik, sosial dan lain-lain lagi. Ini tentu akan meningkatkan pengetahuan am kerana banyak fakta yang kita ketahui. Selain daripada itu, membaca juga dapat menambahkan perbendaharaan kata. Orang yang selalu membaca akan mampu menulis karangan dengan ayat yang lebih gramatis kerana lebih banyak perkataan yang mereka ketahui atau kuasai. Di samping itu, orang yang rajin membaca akan memperoleh banyak pengajaran dan pengalaman daripada pembacaan. Ini boleh dijadikan pedoman untuk kebaikan mereka dalam kehidupan sehari-harian.   

Saya pernah menghadiri satu kursus motivasi dan di dalam kursus tersebut pengajar tersebut memberi beberapa tips bagaimana menjadikan membaca buku satu kebiasaan di dalam kehidupan harian. Antara tips yang disampaikan ialah:

Bagaimana menjadikan membaca buku satu kebiasaan di dalam kehidupan harian

  1. Anda harus mempunyai senarai buku yang anda baca. Dari situ anda akan melihat progress pembacaan anda dari semasa ke semasa.
  2. Pilih buku-buku untuk anda baca mengikut situasi tetapi bukan membaca buku yang sama pada setiap waktu dengan niat untuk menghabiskan buku tersebut.
  3. Membacalah walaupun anda cuma ada masa yang terluang selama 10minit kerana dalam masa 10 minit itu terdapat pelbagai informasi yang telah anda pelajari. 
  4. Kuncinya ialah disiplin dan lakukan setiap hari selama 30 sampai 60 menit. 
  5. Pilih buku-buku yang menarik minat anda. Sebaiknya mulakan dengan membaca review-review buku di internet. Dengan membaca kelebihan dan kekurangan buku minat membaca akan tumbuh jika anda membaca buku-buku dengan review terbaik.
  6.  Mulakan dengan diri sendiri kemudian sebarkan kepada ahli keluarga anda atau orang lain supaya budaya membaca dapat disebarkan.
Please share and like our webpage

Leave a Reply

Your email address will not be published.