Jalan-Jalan Ke Pulau Pinang

Pulau Pinang adalah satu destinasi pelancongan yang terkenal di sebelah utara Malaysia. Jaraknya dari Kuala Lumpur lebih kurang 360km dan jika menaiki kereta anda akan tiba dalam tempoh 3 jam 42 minit tanpa henti. Tetapi kebiasaannya kita akan berhenti di perhentian di lebuhraya sewaktu di dalam perjalanan jadi ia menjadikan masa yang diambil untuk tiba disini ialah lebih kurang 5 jam.

Anda juga boleh ke sini dengan menaiki kapal terbang dan mendarat di lapangan terbang Bayan Lepas ataupun boleh mengambil pengangkutan awam seperti bas dan keretapi. Berikut ialah pilhan yang boleh anda cuba. Saya dan keluarga memilih ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta kerana ianya lebih mudah untuk kemana-mana. Terdapat pelbagai tarikan untuk kita lihat dan pergi termasuk ke detinasi jalan-jalan cari makan yang amat terkenal di sekitar Pulau Pinang. Jadi berkereta adalah lebih baik untuk kami dibandingkan dengan menggunakan kenderaan awam. 

Memandangkan kami pergi sewaktu musim cuti sekolah baru bermula iaitu hari Sabtu dan terdapat banyak kereta diatas lebuhraya. Dari Kuala Lumpur kami bertolak dari rumah dalam pukul 7 pagi dan kami tiba di Pulau Pinang pukul 12 tengahari. Sepanjang perjalanan kami cuma berhenti minum pagi di Tapah selama 30 minit sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang melalui jambatan Pulau Pinang yang kedua. 

Jambatan Ke Dua Pulau Pinang, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah

Antara perkara yang saya suka apabila ke Pulau Pinang ialah melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang. Jambatan ini simbol kepada kejuruteraan senibina moden yang mempunyai panjang 24 km (15 batu) dan menjadikan jambatan ini yang terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara. Ianya dinamakan bersempena Yang di-Pertuan Agong ke-14 Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Ia adalah sebuah jambatan tol jalan raya kembar baharu di Pulau Pinang, Malaysia yang dibina bermula pada tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada Februari 2014. Ia menghubungkan Batu Kawan di tanah besar Seberang Perai dan Batu Maung. Jambatan ini ialah jambatan kedua yang menghubungkan pulau tersebut ke tanah besar selepas Jambatan Pulau Pinang pertama. Jambatan ini menelan kos RM 4.5 bilion ini dibina dengan pinjaman besar daripada kerajaan Republik Rakyat China.

Setiap kali melalui jambatan ini tentunya perasaan saya begitu teruja kerana saya begitu meminati bidang kejuruteraan lebih-lebih lagi syarikat saya bekerja juga terlibat dalam pembinaan jambatan ini. Projek bersama Kumpulan UEM Group dan syarikat dari Cina iaitu China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC) . Mereka berkampung di atas lautan bertahun-tahun lamanya untuk menyiapkan projek ini pada sekitar tahun 2008-2014. Masa yang diambil untuk melalui jambatan ini dalam 20 ke 25 minit dengan had kelajuan 70km/jam. Jambatan ini memudahkan mereka yang datang dari Perak atau Selangor yang mahu terus ke Pulau Pinang tanpa perlu singgah di Seberang Perai dan masa yang diambil juga lebih cepat berbanding jika anda melalui Jambatan yang pertama. Menarikkan, kalau di London mereka ada London Bridge dan di Jepun mereka ada Tokyo Bridge dan tidak ketinggalan juga kita dengan dua Jambatan yang ada di Pulau Pinang ini. Jika dari arah Kuala Lumpur menggunakan Lebuhraya Utara Selatan, untuk menggunakan jambatan ini, anda haruslah exit ke 157 iaitu Persimpangan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan ikut papantanda. 

 

Youtube: Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah

Setelah melintasi jambatan, kami tiba di Batu Maung dan destinasi kami seterusnya ialah ke hotel yang akan kami menginap iaitu Hotel Hard Rock di Batu Feringghi. Sebelum kami ke hotel, kami singgah dulu untuk makan tengahari memandangkan waktu sudah hampir pukul 1 tengahari. Destinasi kami ialah Kedai Ikan Bawal bawah pokok ceri yang terkenal di sekitar Bayan Lepas. Jarak dari Batu Maung ke ke kedai ini dalam 7.5km. Tetapi apakan daya, kedai tersebut tutup pada setiap hari Sabtu. Dan kami meneruskan juga niat kami untuk makan ikan bawal dan kenalan kami yang tinggal di Pulau Pinang mencadangkan kami untuk ke sebuah lagi kedai ikan bawal di daerah Jelutong yang dinamakan Kedai Adik Nasi Ayam Jelutong. Kedai ini bukan sahaja menyediakan nasi ayam tetapi juga ikan bawal goreng. Dari Batu Maung ke Jelutong jaraknya ialah 13.3km seperti di dalam gambar di bawah. Restoran ini betul-betul terletak dihadapan stesen minyak Caltex.

Kedai Adik Nasi Ayam Jelutong dan Ikan Bawal Goreng

Alamat:

595, Jalan Jelutong, Jelutong, 11600 George Town, Pulau Pinang

No telefon owner :012-456 3009 (Adik )

Akhirnya tibalah kami di kedai tersebut dan kami order nasi ayam dan juga ikan bawal goreng. Setelah selesai makan tengahari kami terus bergerak ke Hotel Hard Rock yang terletak di Batu Feringghi. 

Hotel Hard Rock, Batu Feringghi

Alamat:

Hard Rock Hotel Penang, Jalan Batu Ferringhi, 11100 George Town, Penang

Telefon : 04-881 1711

Perancangan kami untuk tinggal di hotel ini sewaktu kami ke Pulau Pinang 2 tahun yang lepas bersama kawan-kawan pada tahun 2016. Waktu itu kami tinggal di Hotel Gurney. Niat untuk ke Pulau Pinang ada banyak kali tetapi kerana jarak nya yang agak jauh dan kami akhirnya bercuti ke tempat lain dan selalu tertunda untuk ke sini. Beberapa minggu sebelum kami bercuti disini, saya dan suami mempunyai pelbagai pilihan untuk bercuti di tempat lain dan antaranya ialah ke Johor, Singapura, Terengganu atau Pahang. Akhirnya perancangan kami untuk ke Pulau Pinang diteruskan dan ditambahkan pula apabila melihat rakan kami yang menyambut anniversari perkahwinan di hotel ini dan tanpa ragu saya menempah hotel ini seminggu sebelum. Jika anda pergi sewaktu cuti sekolah seperti kami, harga biliknya memang tinggi tetapi kerana hotel ini menawarkan perkhidmatan yang kami cari untuk keluarga. Terdapat juga banyak hotel lain di Batu Feringgi untuk anda pilih. Kenapa saya suka tinggal di Batu Feringghi kerana lokasinya yang berdekatan dengan laut dan saya suka melihat pemandangan di laut dan ia adalah ciri utama bagi tempat penginapan yang saya pilih. Apabila berada dekat dengan laut dan melihat laut itu sendiri memberikan saya satu kebahagiaan yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Melihat ciptaan yang maha kuasa akan kebesarannya sambil mendengar deruan ombak yang menghempas pantai. 

 Bahagian hadapan hotel

Kolam Renang yang luas bersebelahan dengan laut tetapi lautnya tidak boleh mandi

Pemandangan laut dari dalam bilik

Keluasan bilik Deluxe Double yang kami tempah

Exercise Your Thumb is the remote control tv 😉

Nota Selamat Datang di tv bilik beserta dengan password wifi. Terdapat pelbagai pilihan chanel yang disediakan

Bahagian penyambut tetamu hotel yang bersambung dengan mini bar menyambut kedatangan tetamu

 

Selain dari itu, hotel Hard Rock juga dianggap masih baru di sekitar Pulau Pinang iaitu dalam 10 tahun yang lepas dibandingkan dengan hotel-hotel yang sudah sedia ada disana dan mula beroperasi pada tahun 2009. Hotel ini ada 6 tingkat dan no bilik kami ialah 536 di tingkat 5 berhadapan dengan laut. Antara fasiliti yang disediakan di hotel ini yang menjadi pilihan kami sekeluarga boleh rujuk disini.

  1. Swimming Pool
  2. Roxity Kids Club
  3. Lil Rockers Infant Club
  4. TABU Teens Club
  5. Rock Shop
  6. Handy Smartphone
  7. Gymnasium
  8. Live Performance show

Swimming Pool

Kolam Renang yang besar dibahagikan kepada bahagian kanak-kanak dan dewasa. Terdapat juga bilik-bilik yang boleh ditempah berhadapan dengan kolam renang dan boleh terus ke balkoni kemudian terjun ke kolam renang yang ada di hadapan bilik. Jadi tidak perlu keluar melalui pintu depan bilik untuk ke kolam renang.

Bilik yang berhadapan dengan kolam renang

Pemandangan dari dalam bilik kami

Roxity Kid Club/Lil Rockers Infant Club/TABU Teens Club

Di hotel ini juga menawarkan pelbagai tempat riadah dan aktiviti untuk kanak-kanak dan remaja. Anak saya juga seronok sangat ke sini. Terdapat pelbagai mainan dan aktiviti yang boleh dilakukan disini seperti gambar dibawah. Sekiranya, anda ingin berjalan-jalan di sekitar Pulau Pinang tanpa membawa anak anda, bolehlah tinggalkan mereka disini kerana terdapat pekerja hotel yang bertanggungjawab menjaga di kaunter. Tetapi tidak sesuai untuk kanak-kanak atau bayi selain ada penjaga yang menjaga mereka.

 

Rock Shop

Terdapat dua kedai yang menjual baju-baju Hard Rock di sini. Memandangkan saya terutamanya suami yang meminati baju Hard Rock, tidak sah jika kami tidak ke sini dan sempat juga saya dan anak-anak shopping beberapa helai baju di sini.

Handyphone

Hotel ini juga menyediakan handyphone untuk kegunaan tetamunya yang menginap di sini. Kami ingat lagi sewaktu kami menginap di Hotel Mystays Gotanda di Jepun, hotel tersebut juga ada menyediakan handyphone yang sama. Tujuannya bagi memudahkan travellers hotel menggunakan internet, wifi, google map serta boleh menggunakan telefon tempatan dan antarabangsa secara percuma apabila keluar berjalan sekitar Penang. Berikut ialah kelebihan menggunakan handyphone ini.

 

Masa kami pada waktu petang dihabiskan di kolam renang dengan anak-anak kemudian saya ke tepi pantai bersebelahan yang boleh di akses dari kolam renang. Pantai Batu Feringghi tidak sesuai untuk bermandi manda kerana keadaan muka buminya antara jarak tepi pantai dan laut yang agak dalam. Selain itu airnya juga agak kotor memandangkan ia adalah laluan Selat Melaka dan banyak kapal dagang yang melaluinya. Pembangunan yang berlaku di sekeliling Pulau juga mungkin mengakibatkan lautnya menjadi agak kotor. Terdapat beberapa aktiviti pantai yang boleh anda cuba seperti Jet Ski, Banana boat, dan lain-lain seperti gambar di bawah:

  

Restoran Golden Thai Seafood Restaurant

Di sebelah malam, kami ke pasar malam di sekitar Batu Feringgi dan makan malam seafood di Restoran Golden Thai yang terkenal sambil menonton persembahan kebudayaan di situ. Restoran ini menjual pelbagai makanan laut yang diimport dari negara luar seperti tiram, udang, lobster, ikan laut, ketam dan pelbagai lagi. Terdapat pelbagai harga yang ditawarkan dan hasil tangkapan laut datang dari berbagai-bagai negara. Dulu-dulu saya dan suami suka sangat dengan makanan laut tetapi sejak kami berdua mempunyai masaalah kesihatan, saya agak kurang memakan makanan laut. Jadi malam itu kami cuma mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit sahaja tetapi masih lagi boleh merasakan keenakan makanan yang disediakan di restoran itu.                                        

 

Live Performance Show

Kemudian selepas makan malam, anak-anak sudah keletihan, kami menghantar mereka ke bilik bersama dan nasib baik maid kami turut serta jadi bolehlah kami tinggalkan mereka di bilik. Kemudian saya dan suami menonton live performance di cafe yang ada di situ.

Coffee House

Keesokannya, kami bersarapan di coffee house dan ia telah termasuk sekali didalam pakej penginapan kami untuk 2 orang dewasa dan 2 orang kanak-kanak. Walaupun padat dan ramai orang, makanan silih berganti dan ini membuatkan semua pengunjung hotel boleh merasakan bufet yang disediakan. Setiap yang kurang pasti akan di tambah.

Selepas sarapan kami menyambung aktiviti di kolam renang dan ke tepi pantai. Kemudian keluar untuk mencari makanan tengahari dan niat untuk makan ikan bawal di Restoran Ikan Bawal Pokok Ceri sejak dari hari pertama diteruskan apabila restoran tersebut sudah buka semula pada hari ahad.  Restoran ini terletak dalam 33km dari hotel. Pada hari pertama kami sampai restoran ini tutup kerana ianya adalah hari Sabtu dan pastikan anda rujuk ke Google Map untuk mengetahui waktu kedai dibuka. Selain dari menu Ikan Bawal terdapat juga pelbagai makanan lain yang disediakan disitu. 

Restoran Ikan Bawal Pokok Ceri

Alamat:

No,1284, Jalan Mahkamah, Kampung Masjid, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Tel No: 013-430 3088

Penang Street Art

Selepas makan, kami ke Penang Street Art dimana terdapat pelbagai lukisan 3D yang dilukis didinding bangunan di beberapa bahagian di sisir jalanraya.  Di situ juga terdapat sebuah Masjid lama yang dikenal sebagai Masjid Melayu Jamek Lebuh Acheh yang didirikan pada tahun 1808. Di sepanjang Street Art terdapat pelbagai lukisan yang dilukiskan di dinding.  Gambar yang paling mendapat sambutan ialah 2 orang kanak-kanak berbasikal diatas basikal lama. Terlalu simbolik jika kita lihat tentang gambar ini. Saya juga tidak melepaskan peluang bergambar di jalan ini.

Alamat:

316, Beach Street Georgetown, George Town, 10300 George Town, Pulau Pinang

Kemudian perjalanan diteruskan ke kawasan Balik Pulau untuk makan laksa yang terkenal iaitu Laksa Janggus. Dari Penang Street Art ke sini jaraknya sejauh  32km. Saya pertama kali ke sini dan pemandangan sepanjang ke Restoran ini sangat menarik kerana kami melalui kawasan kampung dan kelihatan sawahpa di di kiri dan kanan di sesetengah tempat. Kuah laksanya yang enak membuatkan ramai orang sanggup datang dari jauh untuk mencuba dan terdapat juga beberapa makanan lain yang terdapat disini. Sebelum ini kami tidak yakin untuk ke Balik Pulau sendiri tetapi sejak adanya teknologi waze, panduan untuk mencari tempat dan berjalan di sekitar Pulau Pinang amat mudah untuk kami.

Restoran Laksa Janggus

Alamat:

Jalan Kampung Perlis, Kampung Perlis, 11020 Balik Pulau, Pulau Pinang

Tel No: 04-866 8819

Hari beransur petang kemudian kami juga beransur pulang ke hotel kami. Dari Laksa Janggus ke Hotel Hard Rock di Batu Feringghi ialah 27.7km. Sepanjang laluan pulang, perjalanannya adalah menuruni Bukit. Ini adalah kerana kedudukan Balik Pulau adalah disebelah kawasan hutan simpan Penang National Park dan kawasan ini juga dikenali dengan durian yang enak. Jika ingin makan durian, pergilah ke sini kerana kami dapat lihat pokok durian penuh di sepanjang perjalanan kami ke Batu Feringgi. Jalannya amat berliku dan agak sunyi. Jika jalan waktu malam mungkin agak berisiko tinggi kerana laluan yang agak curam dan menuruni lereng-lereng bukit yang kecil.

Sebelum tiba di hotel kami menginap, kami melalui Empangan Teluk Bahang yang jaraknya dari hotel ialah 6.3km. Teluk Bahang adalah adalah empangan tadahan air terbesar di Pulau Pinang. Kawasan ini pernah dilanda tsunami yang teruk pada 26hb Disember 2004 dan ombak tiba pada 12:50pm tengahari menyebabkan kerosakan besar dan meragut beberapa nyawa, walaupun begitu tsunami yang melanda kawasan ini ketika itu tidak seteruk negara-negara lain di Lautan Hindi. Selain dari Empangan ini, disekitar Teluk Bahang ini juga ada Taman Rama-Rama dan Fruit Farm. Kami tiba di hotel hampir jam 6 petang dan selepas solat anak-anak meminta untuk ke swimming pool manakala saya pula ke tepi pantai untuk melihat aktiviti di pantai.

Empangan Teluk Bahang

Alamat:

Teluk Bahang, 11050 Tanjung Bungah, Penang

Pada waktu malam, memandangkan anak-anak sudah keletihan dan kami pula sudah menempah makan malam siap-siap untuk mereka. Saya dan suami ke Persiaran Gurney bagi menikmati makan malam. Dari Hotel Hard Rock ke sini jaraknya ialah 12.6 km. Tujuan sebenar kami ke sini untuk makan Pasembur yang terkenal di Pulau Pianang. Gerai yang bernombor 9 dan dikenali juga dengan pasembur Menari Stall No. 9. Kenapa namanya menari kerana, mamak yang menjual tersebut akan menari serta menyanyi. Harga nya juga agak mahal dibanding dengan kedai pasembur yang lain tetapi rasanya lebih enak. Setelah makan malam kami terus pulang ke hotel untuk beristirehat.

Kedai Makan, Gurney Drive

Alamat:

Persiaran Gurney, George Town, 10250 George Town, Pulau Pinang

Pada hari ketiga kami di Pulau Pinang, ianya ialah hari terakhir kami di sini sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Kami sempat ke dua tempat lagi sekitar Pulau iaitu Kedai Jeruk Madu Pak Ali dan juga ke Bukit Bendera. Jeruk Madu Ali amat terkenal di seluruh Malaysia. Terdapat pelbagai cawangan yang ada di sekitar Pulau Pinang. Kami sempat singgah di cawangan Butterworth yang beralamat di atas. 

Jeruk Madu Pak ALi, Butterworth

Alamat:

423 & 425, Jalan Penang, George Town, 10000 George Town, Pulau Pinang

Setelah membeli jeruk kami terus ke Bukit Bendera. Saya pertama kali sampai kesini manakala yang kedua kali buat suami saya. Menurut beliau, terakhir ke sini ialah sewaktu zaman sekolah. Kereta kabel pada waktu itu masih lagi manual dan perjalanannya mendaki amat perlahan berlainan dengan yang ada sekarang.

Sedikit sejarah mengenai Bukit Bendera ini ialah ianya merupakan tempat peranginan yang merangkumi daripada beberapa puncak di Pulau Pinang, Malaysia. Ia terletak di Air Itam, 6 kilometer (3.7 batu) barat dari pusat bandar George Town. Bukit Bendera dinamakan sempena salah satu puncak yang paling maju iaitu Flagstaff Hill. Bukit Bendera meliputi beberapa bukit, dengan puncak tertinggi di Western Hill yang 833 meter (2,733 kaki) di atas paras laut. Bukit ini boleh dilihat dengan jelas dari dataran rendah sebagai kawasan berbukit dan berhutan. Ia telah digunakan sebagai tempat berlindung semasa zaman penjajahan British, dan kini merupakan destinasi pelancongan yang popular di Pulau Pinang. Memandangkan ianya cuti sekolah, ramai orang ingin naik kereta kabel ini. Oleh itu kami membeli tiket fast lane kerana tidak ingin beratur lama. Harga tiket normal dan fast lane jauh berbeza dan rujuk gambar di bawah untuk harga tiket. Masa yang diambil untuk beratur juga jauh berbeza. Sewaktu ingin membeli tiket, saya ada bertanya kepada mesin menjual tiket berapa lama masa yang diambil untuk menaiki kereta kabel ini dan jawapannya ialah 2 jam. Oleh itu tanpa membuang masa saya terus membeli tiket fast lane tersebut dan sebaik kereta kabel sampai, kami terus boleh menaikinya. Masa yang diambil untuk ke atas ialah 5 ke 7 minit. Pada hari itu, cuaca agak berjerebu jadi penglihatan agak suram dan pemandangan untuk melihat Jambatan Pulau Pinang agak terbatas. Suasana dan pemandangan dari Bukit Bendera ini sungguh mempersonakan dan anda boleh juga  boleh melihat yang cantik di waktu malam. Cuma keadaan yang agak gelap menuruni ke bawah menaiki kereta kabel. Kereta kabel juga beroperasi sehingga pukul 11 malam dan kaunter tiket dibuka sehingga pukul 10.30 malam. Boleh rujuk website Bukit Bendera untuk maklumat lanjut disini.

Bukit Bendera, Pulau Pinang

Alamat:

11500 Bukit Bendera, Penang

 

Kami juga ada menaiki buggy car menglilingi kawasan Bukit Bendera tersebut. Sepanjang perjalanan, pemandu yang membawa kami juga bercerita tentang sejarah Bukit Bendera yang mempunyai banyak perkara misteri. Menurutnya penduduk di sekitar Bukit Bendera semakin kurang dan kelihatan banyak rumah-rumah lama yang ditinggalkan memandangkan jaraknya yang jauh dari Pulau Pinang. Asalnya Bukit Bendera ini ialah kawasan penjajah dan buktinya kelihatan bangunan-bangunan yang ada di sini peninggalan negara British. Setelah makan tengahari dan mengelilingi kawasan tersebut, kami turun semula ke bawah  dengan tiket pergi balik yang kami beli. Terdapat juga kedai makan di Bukit Bendera. Selepas makan tengahari kami sekeluarga turun dan meneruskan perjalanan ulang kami ke Kuala Lumpur. Sewaktu balik kelihatan terlalu ramai pengunjung yang beratur untuk menaiki kereta kabel. Tiket fast lane yang kami beli memudahkan kami untuk turun ke bawah dari beratur panjang.

Sekali lagi kami melalui Jamabatn Sultan Abdul Halim kerana ianya menjimatkan masa perjalanan kami untuk ke Kuala Lumpur. Kami sempat singgah di Tapah untuk membeli buah sebelum perjalanan diteruskan ke Kuala Lumpur.

Menarik percutian kami kali ini ke Pulau Pinang.

Terima kasih kerana sudi membaca.

 

Please share and like our webpage