Jalan-Jalan Ke Taiping, Perak, Malaysia

Pada bulan December yang lepas, saya sekeluarga ke Taiping Perak. Kami menginap selama tiga hari dan menginap di Hotel Flemington. Kami selalu ke Taiping kerana ada saudara di sana dan kebiasaannya tidak bermalam dan pulang pada hari yang sama. Jika bermalam pun kebiasaannya ada tujuan lain kerana kenduri saudara mara. Jarak dari rumah saya sekitar Gombak Kuala Lumpur ke Taiping Perak ialah 265km lebih kurang 3 jam perjalanan melalui Lebuhraya Utara Selatan.

Kami bergerak awal pagi ke Taping untuk mengelakkan jem di lebuhraya kerana kebetulan ada cuti umum tersepit pada hari rabu jadi pasti ramai orang mengambil cuti pada hari isnin dan selasa untuk pergi bercuti seperti kami. Strategi kami bertolak di awal pagi Jumaat waktu orang bekerja menjadi kerana jalanraya di lebuhraya tidak terlalu sesak melainkan jika kami bertolak pada petang Jumaat. Kami singgah sebentar berhenti berehat di Hentian Rehat RTC di Gopeng dalam 176km dari Kuala Lumpur. Kemudian kami memulakan semula perjalanan bergerak ke exit Taiping dan dari plaza toll ke hotel lebih kurang dalam 13.6km sahaja.

1. Penginapan Di Taiping

Alamat:

1, Jalan Samanea Saman, 34000 Taiping, Negeri Perak 
Tel: 05-820 7777

Lokasi hotel ini tidak jauh dari perhentian Plaza Tol Taiping dan berhadapan dengan Tasik Taiping yang cantik dan terkenal. Kami menempah bilik keluarga dengan tambahan katil di dalamnya. 

Pemandangan bilik kami yang mengadap tasik Taiping dan Bukit Larut menyajikan pemandangan yang menghijau dan tenang mata memandang.

2. Tempat Yang Menarik Di Sekitar Taiping

Tasik Taiping

Ketika berjalan di sini ia mengingatkan saya ketika di Jepun bagaimana orang Jepun begitu menjaga kecantikan di taman-taman riadah. ternyata di Malaysia kita juga ada taman setasik di Jepun. Tasik Taiping boleh saya kategorikan antara yang tercantik di Malaysia dengan keindahan dan kehijauan di dalamnya.

Bukit Larut

Dari hotel yang saya menginap kelihatan Bukit Larut yang menghijau. Dahulu Bukit Larut ini dikenali dengan nama Maxwell Hill kemudian ditukar nama oleh kerajaan Perak sebagai Bukit Larut. Maxwell Hill dinamakan sempena William Edward Maxwell, yang merupakan Penolong Penolong Inggeris di Perak. Tidak seperti yang dibangunkan seperti resort bukit lain seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands, Bukit Larut mengekalkan suasana kolonial dengan banglo bungalow dan taman Inggeris.

Memandangkan kami membawa anak kecil yang berumur 3 tahun, saya tidak ke sana kerana trek ke Bukit Larut agak mencabar dan kebetulan waktu itu ada tanah runtuh. Kami hanya menyaksikan kehijauan dari kejauhan di tingkap bilik hotel kami menginap. Tetapi jika anda berminat untuk ke sana akses hanya tersedia oleh Land Rovers (pihak berkuasa kerajaan) pihak berkuasa resort (kenderaan swasta tidak dibenarkan tanpa permit) walaupun orang bebas untuk berjalan di atas bukit seperti yang banyak dilakukan untuk latihan (mencapai puncak boleh mengambil masa sehingga 3-5 jam) . Perjalanan itu, 13 kilometer dari pangkalan ke puncak Bukit Larut menggunakan Land Rovers mengambil masa kira-kira 30 minit. Bukit Larut masih mengekalkan asal-usul kolonialnya dengan banglo dan taman lama. Bukit ini sesuai untuk penembak burung dan pencinta alam, kerana kawasan ini menyediakan persekitaran yang mesra untuk hidupan liar setempat.

Sumber dari Wikipedia

Zoo Taiping

Satu lagi tarikan yang ada di Taiping ialah zoo Taiping. Di sini terdapat juga Night Safari yang dibuka untuk tontonan umum. Bukan hanya pada waktu siang tetapi terdpat juga pada waktu malam. Dibawah ini ialah harga untuk masuk ke zoo Taiping ini.

 

Terdapat keretapi mini sekiranya anda ingin melawati zoo ini dan perjalanan mengelilingi Zoo Taiping ini dalam masa 20 minit. Night Safari Taiping merupakan yang pertama di Malaysia. Keindahan dan keaslian alam semulajadi semakin indah apabila dibayangi cahaya di waktu malam. Dalam usaha untuk mengekalkan sumber-sumber alam semulajadi. Night Safari Taiping mempamerkan hidupan-hidupan liar yang aktif pada waktu malam dalam suasana semulajadi. Ini memberi peluang kepada pelawat untuk menghayati dan menghargai khazanah alam semulajadi sambil berhibur serta menenangkan fikiran. 

Sumber dari Zoo Taiping

3. Tempat Makan di Taiping

Medan Selera Larut Matang

Alamat:

34000 Taiping, Perak

Waktu Operasi : 5.00 pagi-6.00 petang

Medan selera ini berada di bandar Taiping. Di sini terdapat beberapa gerai yang menyajikan pelbagai makanan di sekitar bandar Taiping. Ia seperti one stop centre dimana pelbagai makanan masyarakat setempat ada dijual di sini. Antara makanan favourite yang saya cuba ialah rojak pasembor, cendol, mee goreng kombat, ais kacang, roti canai, kue teow goreng dan pelbagai makanan lagi. Anda harus ke sini sekiranya anda berada di sekitar Taiping. Kekurangan yang ada di sini ialah tempat duduknya yang terhad. Jika anda membawa ahli keluarga yang ramai, mungkin tempat duduk akan menjadi isu untuk makan di sini. Jika tidak anda boleh menempah menu kemudian makan di hotel.

Cendol Bismillah

Alamat:

233, Jalan Barrack, 34000 Taiping, Negeri Perak

Tel No: 010-803 7860

Waktu Operasi : 8.00 pagi – 6.00 petang setiap hari

Kedai cendol ini tidak besar tetapi selesa dan bukan seperti cendol di tepi jalan. Di sini ruang makan juga terhad kerana ramai orang. Selain cendol terdapat juga rojak pasembor dan laksa.

Cendol Ansari

Alamat:

92, Jalan Barrack, 34000 Taiping, Negeri Perak

Tel No: 012-562 9440

Waktu Operasi : 10.00 pagi – 6.30 petang setiap hari

 

Kedai cendol ini terletak berhadapan dengan kedai cendol Bismillah. Di sini juga ada disediakan menu makanan lain selain dari cendol. 

Diantara kedua-dua kedai cendol di atas, saya lebih suka Cendol Bismillah.

 

Restoran Sejati

Alamat:

1A, Taiping Business Centre, Lorong, 34000 Taiping, Perak 
 
Waktu Operasi : 8.00 pagi – 2.30 pagi

Tel No: 05-806 5172

Restoran ini menyediakan sarapan pagi, makan tengahari sehingga ke malam hari. Pelbagai jenis makanan yang disediakan seperti di dalam menu di dalam gambar ini. Restoran juga mempunyai rang yang terhad sungguhpun ramai pelanggannya.

Restoran Wan Ikan Bakar

Alamat:

Lot 5628, Kampung Pasir Berhadapan Taman Tasik, 34600 Kamunting, Perak

Waktu operasi : 10.00 pagi – 9.30 malam

Tel No:  014-256 8103

Berbeza dengan restoran sejati, di restoran Wan Ikan Bakar ini tempatnya agak luas dan juga mempunyai pelbagai jenis lauk pauk yang disediakan.

 

Laksa Telur Goreng BerSarang/Kafe Setinggan Ipoh

Alamat:

1, Jalan Margosa B/15, 31350 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi : 12.00 tengahari – 7.00 malam dan cuti pada hari Jumaat

Tel No : 018-577 2955

Selesai sudah percutian kami selama tiga hari dua malam di Taiping. Kami pulang ke Kuala Lumpur pada petang ahad dan singgah di Ipoh untuk mencuba laksa sarang  telur di Kafe Setinggan. Di sini selain dari laksa terdapat juga roti john yang begitu menepati selera saya. Bukan setakat makan di sini tetapi saya juga bungkus untuk di bawa pulang. 

Capati Corner

Alamat:

Simpang Chenderiang, Jalan Besar Tapah Temoh, Kampung Pasir, 35350 Temoh Malaysia

No Tel : 05-419 9786

Memandangkan lebuhraya utara selatan jem dan kami membuat pilihan untuk mengikuti jalan lama iaitu arah ke Kampar untuk berhenti di restoran capati yang viral ini.

 

Please share and like our webpage