Jangan takut untuk mempunyai impian yang hebat

Teringat waktu zaman kanak-kanak, saya seorang anak kampung yang telah diajar berdikari dari kecil. Kami enam beradik semuanya, ibu seorang suri rumah dan ayah seorang penjawat awam. Ciri-ciri saya untuk mengembara telah lama hadir sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Ayah seorang yang sangat kuat bekerja bagi menanggung keluarga. Setelah pulang dari kerja kadang-kadang dia akan ke kebun di Bukit Mandi Angin atau dikenali juga dengan Bukit Kunyit jarak 5.6km dari pekan Linggi kampung halaman saya. Saya antara yang selalu menemani arwah ayah ke kebun kerana perjalanan kami dengan hanya berbasikal kerana arwah ayah tiada kenderaan lain waktu itu.

Perjalanan ke kebun amat berliku untuk anak kecil seperti saya ketika itu. Laluan jejak untuk mendaki bukit tidak mudah dan setiap kali mendaki, arwah ayah akan menebas rumput dan lalang tinggi menggunakan parang. Kebun kami berada nun jauh diatas bukit manakala dibawah kepunyaan orang lain yang tidak dijaga. Basikal ayah diletakkan di bawah dan kami akan mendaki bukit dengan berjalan kaki. Jika dilihat Bukit itu sekarang, tidaklah terlalu tinggi tetapi bagi kanak2 kecil seperti saya yang waktu itu berumur dalam 10-12 tahun ianya bukanlah satu perkara yang mudah. Ketika mendaki bukit terdengar ranting-ranting kayu dipijak di kejauhan dan arwah ayah akan suruh saya membaca doa dan bercakap ‘tumpang tok anak cucu tumpang lalu’. Ketika itu saya hanya mengikuti apa yang arwah ayah ajarkan. Perasaannya pastilah gerun kerana disitu ada cerita-cerita orang kampung yang memberitahu ada harimau di bukit. Harimau itu datang dari gunung yang berhampiran. Siapa yang tinggal di kampung pasti akan memahami apa yang saya kongsikan ini. Tapi itu semua hanyalah ajaran orang dulu-dulu yang dituruni kepada anak cucu tapi arwah ayah mengajar saya berdoa lebih baik bagi mengelak perkara jahat mendekati kita apabila memasuki hutan. Sejak dari itu setiap kali saya pergi mendaki dan melalui tempat sunyi, ajaran arwah ayah pasti akan saya lakukan.

Antara bacaan doa yang boleh dibaca ketika memasuki hutan.

Setibanya di atas bukit kelihatan hamparan menghijau yang memberi ketenangan melepaskan lelah mendaki.

Pemandangan Bukit Mandi Angin yang sudah jauh berubah ketika ini

Dari atas bukit, boleh nampak laut Selat Melaka yang membiru serta pandangan Gunung-gunung yang berada di sekitar iaitu Gunung Datuk dan Gunung Angsi.

 

Jika dilihat dari peta diatas inilah kedudukan dimana saya berada waktu tu. Diatas bukit menyaksikan pemandangan laut dan kelihatan gunung di srkitarnya iaitu Gunung Angsi dan Gunung Datuk. Dari kejauhan kelihatan kapal yang berlalu di laluan Selat Melaka dan pemandangan hijau disekeliling bukit. Sehinggalah satu hari ketika menemani ayah ke kebun, saya hampir jatuh ke dalam gaung dan mujur arwah ayah sempat menahan saya dari jatuh. Disinilah bagaimana saya bermula menghargai kurniaan yang maha esa iaitu laut dan gunung.

Selain dari bukit, saya juga diajar berdikari di sekolah dengan berjakan kaki. Jarak rumah kami ke sekolah rendah yang saya belajar ialah 6km. Mungkin kedengaran dekat tetapi untuk saya waktu itu jauh sehingga ia sudah menjadi kebiasaan kami berjalan kaki sehinggalah saya memasuki sekolah berasrama penuh ketika di Tingkatan 1. Saya berjalan kaki bukan setiap hari kerana kami adik beradik akan menaiki kereta sewa yang diupah oleh arwah ayah. Tetapi memandangkan kadang-kadang trip kami yang 3 atau keempat, masa menunggu akan jadi lama dan ini yang membuatkan kami memilih untuk betjalan kaki dari sekolah ke rumah. Tetapi bukanlah setiap petang tetapi bila hanya ada acara kokurikulum di sekolah.

Sehinggalah saya ditawarkan memasuki sekolah ber asrama penuh di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Waktu ini membuatkan saya lebih berdikari dan perjalanan dari rumah ke sekolah dengan jarak 64km. Kami dibenarkan balik setiap bulan sekali dengan menaiki bas sahaja. Saya akan menukar bas sebanyak dua kali sebelum tiba di kampung halaman.

Saya berasal dari keluarga yang sederhana dan pengalaman mengajar saya untuk berdikari dan tidak lupa faktor pendidikan juga membuatkan saya berjaya menggapai impian saya yang sekarang.

Sehinggalah apabila saya menamatkan pelajaran dan diberi peluang keluar negara menjadikan saya menjadi lebih berani dan mempunyai perasaan yang kuat untuk mengembara di beberapa negara yang lain. Selain dari itu saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pemandu pelancong dan pernah juga saya memohon untuk menjadi seorang pramugari. Semuanya kerana untuk mengejar cita-cita saya untuk mengembara ke seluruh dunia dan cita-cita mengejar kerjaya.

Jika anda punya impian, jangan takut menggampai impian dan jangan berhenti jika anda jatuh. Kerana setiap kali anda jatuh, cubalah untuk berdiri dengan sendiri supaya anda tetap teguh walaupun ianya memeritkan. Akan sampai satu ketikanya nanti detik yang anda impikan.

Kongsikan jika ianya bermanfaat.