Menunaikan Umrah Ke Tanah Suci Mekah Dan Madinah

Alhamdulilah syukur kepada hadrat ilahi. Sudah genap seminggu saya dan suami pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Masih terngiang-ngiang lagi bacaan-bacaan ayat suci yang berkumandang dan suasana di Mekah dan Madinah. Kami berangkat pada 4 November (Isnin) dan tiba di Malaysia pada 15 November 2019 (Jumaat) iatu selama 12 hari 10 malam. Sebelum ini, saya banyak mendengar banyak cerita tentang melakukan ibadah di tanah suci Mekah dan Madinah. Ada yang seronok dan ada juga yang kurang menyenangkan. Tetapi pada waktu itu, saya benar-benar tidak faham apa yang dimaksudkan. Dari segi cuaca pula, ketika masih berada di tanah air Malaysia, saya mempunyai sedikit kerisauan dengan cuaca di  Mekah dan Madinah kerana negara padang pasir yang panasnya agak melampau itu dan kerisauan saya untuk beribadah memandangkan saya pernah pergi beberapa negara 4 musim yang cuacanya lebih mendamaikan jadi perbandingan ini yang membuat saya sedikit khuatir dengan kesihatan saya di sana nanti.

Walaupun begitu, perasaan dan keterujaan dapat menunaikan ibadah umrah mengatasi kerisauan yang bermain di kepala. Keinginan saya untuk menunaikan umrah telah lama saya impikan sejak dari kecil lagi. Ke tanah suci Mekah adalah satu tempat yang saya paling saya impikan untuk pergi.  Niat saya untuk menunaikan umrah sudah sekian lama tetapi pelbagai halangan memaksa saya menangguhkan perancangan tersebut. Akhirnya saya dan suami bersetuju untuk menunaikan umrah bersama pada tahun 2019. Syukran ya allah kerana mengizinkan kami dan memakbulkan doa kami untuk sampai ke rumahmu Baitullah al haram. Kalau dulu kebiasaannya ramai orang pergi umrah pada orang yang sudah agak berumur dan pencen. Tidak kurang juga seperti kami di mana umur kami sudah mencapai 40an bila kami ke sini. Tetapi dewasa ini, pengaruh media masa yang meluas dan perkongsian-perkongsian oleh ramai orang termasuk saya sendiri sekarang membuatkan keterujaan ramai orang untuk melakukan haji kecil ini.

Perasaan dan pengalaman berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta ziarah ke kawasan sejarah Islam membuatkan diri ini terpaku dan asyiknya melihat ciptaan Allah. Beribadah di kota suci ini membuatkan hati berasa amat tenteram, nyaman dan asyik untuk beribadah. Sukar ingin saya gambarkan dengan lebih lanjut tetapi rata-rata yang sudah pergi ke sana pasti akan rindu untuk ke sana lagi. Saya sendiri suami isteri meletakkan impian dan semoga Allah memakbulkan permintaan kami untuk kami kembali kesini lagi. Apabila kita sudah menunaikan umrah pada waktu muda, automatik keinginan untuk menunaikan haji selepas ini akan menjadi langkah saya seterusnya. Pengalaman sewaktu melakukan umrah membuatkan saya berfikir, melakukan rukun islam yang ke lima iaitu ibadat haji adalah lebih baik waktu muda. Ibadat tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali dan saie diantara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Hari Pertama

Berangkat Ke Mekah

Perasaan saya sudah pastinya teruja dan tidak sabar untuk pergi menunaikan umrah. Tetapi pada waktu yang sama saya rasa sedih meninggalkan anak-anak selama 12 hari. Beberapa bulan sebelum meneruskan tempahan, saya cuba memujuk suami untuk membawa anak-anak saya sekali. Tetapi kerana niat kami untuk memfokuskan pada ibadah dan senang untuk beribadah dan ulang alik ke masjid membuatkan saya akur dengan keputusan suami.  Saya mengamalkan beberapa doa setiap kali habis solat waktu buat diberikan kekuatan untuk meninggalkan mereka terutama si kecil yang berumur 3 tahun. Ketika berangkat ke lapangan kapal terbang, anak-anak kami tidak ikut serta memandangkan ianya masih awal pagi. 

Hari sebelumnya saya tidur hampir pukul 12 malam, dan hari berangkat saya bangun pukul 1.30pagi dan hanya beberapa jam sahaja tidur. Sebaik bangun dari tidur, terdapat beberapa perkara yang dilakukan.

  1. Mandi sunat ihram
  2. Solat Sunat Tahajud
  3. Solat Sunat Hajat
  4. Solat Sunat Taubat
  5. Lengkap berpakaian ihram
  6. Solat Sunat Ihram
  7. Solat Sunat Musafir

Kami bertolak ke KLIA pada pukul 4 pagi dan tiba di KLIA pada pukul 5 pagi.

 

Disini saya kongsikan persiapan saya menunaikan umrah dan itinerari sewaktu di Mekah dan Madinah

Sila Klik Di Bawah

Persiapan Untuk Menunaikan Umrah

Please share and like our webpage