Musim Bunga – Hari Pertama (Ketibaan Di Tokyo, Jepun)

Travelog ke Jepun

Hari Pertama 12 April 2018 (Khamis)

Sebelum Berlepas

Kami bertolak dari rumah ke KLIA dalam pukul 11 pagi dengan menaiki Grab dan tiba dia airport dalam pukul 12 tengahari dan berlepas ke Jepun pada pukul 2.25 petang. Setibanya di KLIA airport, saya membawa anak-anak makan untuk mengelakkan mereka kelaparan dan meragam. Kami makan dulu di Mc Donald dan singgah di Starbuck untuk membeli minuman kegemaran. Kami membawa satu luggage besar, satu yang bersaiz sederhana dan satu beg galas. Alhamdulilah Ayra yang waktu ketika itu berumur setahun empat bulan tidak meragam dan persediaan dalam memastikan segala keperluan untuk dia dibawa dan jangan bagi mood dia meragam.

Di Dalam Pesawat (Tempat Duduk, Baby Bassinet, Makanan dan Hiburan Digital)

Kami menaiki Air Asia ke Tokyo dan perjalanan mengambil masa selama 7 jam 5 minit . Tempat duduk kami bernombor 34D, 34F dan 34G dan kedudukannya adalah di tengah-tengah pesawat dan bukan di tepi tingkap kerana kami menempah bassinet untuk Ayra bagi keselesaan sikecil kami untuk tidur dan juga keselesaan untuk kami supaya tidak mendukungnya disepanjang perjalanan jika dia tidur. Pramugari Air Asia yang berbangsa Jepun ketika itu membantu kami untuk menggantung bassinet. Mula-mula terfikir juga dimana bassinet yang kami tempah, rupanya ia hanya akan dipasang selepas semua orang naik pesawat kerana kedudukan kami yang paling depan juga adalah laluan orang lain ke tempat duduk mereka. Sebelum Bassinet di pasang, Ayra saya pangku dan dia juga dipasang tali pinggang keselamatan tetapi khas untuk anak kecil berumur 2 tahun kebawah. Dengan adanya kemudahan bassinet ini ianya begitu mudah untuk kami tidak perlu untuk memegangnya ketika tidur. Perjalanan yang agak lama boleh buat tangan akan jadi kebas. Kerana Ayra masih berumur bawah 2 tahun, harga tiketnya pergi balik cuma berharga RM250 dan bayaran untuk bassinet ialah RM125. 

Saya menempah makanan ketika di dalam pesawat  dan seperti biasa makanan yang kami tempah jika menaiki Air Asia ialah nasi lemak dan nasi ayam. Janganlah bandingkan makanan segera seperti ini dengan makan di restoran biasa kerana perbezaan yang ketara tapi ada makanan dalam kapalterbang pun dah membantu untuk tidak berlapar setibanya di Jepun nanti. Selain dari makanan, kami juga ada menempah hiburan (entertainment) di dalam pesawat iaitu ipad untuk Danish dan papanya. Di dalam pesawat Air Asia, tiada tv seperti di kapal terbang premium seperti MAS, ANA, JAL dan seangkatan dengannya. Bagi mengelakkan mereka bosan di dalam pesawat jadi saya menempah servis ini dari Air Asia dan jumlahnya adalah RM98 untuk 2 orang. Manakala untuk Ayra, saya ada membawa ipad dari rumah yang sudah dimuatturun (download) pelbagai cerita kartun di dalamnya. Membawa anak kecil ketika melancong memerlukan persiapan bukan sahaja dari segi makanan tetapi juga emosi serta hiburan. Jika tidak pasti mereka akan meragam. Nasib baik Ayra tidak terlalu meragam kecuali dia susah makan dari awal kami tiba di Jepun. Susu botol dan roti antara makanan yang kami berjaya memujuknya untuk makan. 

Borang-Borang Sebelum Ketibaan Di Jepun

Sebelum tiba di Haneda, di dalam pesawat kami mengisi beberapa borang yang diberi oleh pramugari iaitu Borang Peristiharan Kastam (Custom Declaration Form) dan Disembarkation kad. Terdapat beberapa perkara yang kena ambil tahu bila ke Jepun iaitu:

• Jangan bawa buah-buahan dan sayur-sayuran
• Jangan bawa makanan segar yang belum dimasak seperti daging dan sebagainya
• Pastikan anda bungkus makanan dengan baik menggunakan pembungkus makanan 
• Anda harus mengisi borang kastam jika anda membawa beras ke sana

Ketibaan di Jepun Menggunakan Airport Transfer Dari Klook

Kami tiba di Haneda pada pukul 10.30 malam waktu Jepun bersamaan pukul 9.30 malam waktu Malaysia. Selepas proses di imigresen, kami mengambil beg dan mengishtiharkan barang-barang yang kami bawa di bahagian kastam. Proses kedua-dua ini mengambil masa hampir 1 jam. Agak lama jika dibandingkan dengan Narita. Sewaktu urusan di imigresen dan kastam, saya mendapat mesej dari airport transfer yang saya tempah dengan KLOOK. Pemandunya menunggu kami di bahagian kaunter informasi sebaik keluar daripada ruang ketibaan. Sehari sebelum berlepas ke Jepun, staff KLOOL ada berhubung dengan saya untuk mengesahkan jadual penerbangan kami. Jadi anda jangan risau dengan servis mereka dan kami juga sempat lagi membuat penukaran sehari sebelum bertolak ke Jepun kerana sebelum itu saya menempah tepat masa ketibaan kami sedangkan kami memerlukan lebih kurang 1 jam untuk melepasi bahagian kastam dan imigresen di sana serta mengambil beg. Mereka akan benarkan anda untuk menukar masa sebelum anda tiba di sana kerana orang Jepun begitu menepati masa, jadi hati-hati dengan masa anda sebelum anda ditinggalkan selepas satu jam dari waktu anda tempah. Pemandu klook yang kami berurusan ialah seorang anak muda Jepun dan boleh sedikit berbahasa inggeris. 

Jika anda risau dengan servis ini, anda juga boleh mengambil servis airport transfer ni dari orang Malaysia sendiri. Kami juga selalu berhubung dengan mereka dan pernah juga menggunakan servis mereka di sana. Servis mereka tersangatlah mudah dan boleh bertolak ansur sekiranya anda tiba lewat sangat di Jepun contohnya jika tiba-tiba kapal terbang lewat tiba, urusan imigresen dan kastam yang mungkin mengambil masa, jadi mereka mempunyai pertimbangan dan tetap akan menunggu dalam satu hingga ke dua jam. Perkhidmatan airport transfer yang kami ambil dari klook untuk memudahkan urusan kami ke hotel tanpa perlu bertukar keretapi memandangkan kami membawa anak kecil. Ditambah pula suami saya juga pertama kali ke sana dan merasakan agak sukar dengan membawa banyak beg besar untuk menaiki keretapi. Bagi memenangi hatinya saya akur dan menempah perkhidmatan ini dengan klook dan saya percaya selepas beberapa hari di sana pasti beliau akan suka menggunakan public transport di Jepun. Jadi sewaktu kami pulang, saya tidak menggunakan perkhidmatan airport transfer dari mana-mana pun tetapi kami menggunakan Tokyo monorel di Stesen Hamaatsucho untuk ke lapangan terbang Haneda. Suami saya pun sudah semakin yakin dengan perkhidmatan keretapi di sana ;).

Kelebihannya jika anda mengambil airport transfer, sekiranya anda membawa anak-anak kecil, menaiki kereta lebih selesa dari anda menaiki tren selepas 7 jam di dalam pesawat. Anak-anak mungkin sudah keletihan termasuk dengan orang tuanya sekali. Jadi anda boleh membuat pilihan yang bersesuaian dengan budget dan keselesaan anda dalam memilih airport transfer di Haneda. Tetapi jika anda mempunyai budget yang terhad menggunakan keretapi sudah memadai kerana penggunaan perkhidmatan awam mereka bukan sahaja bagus tetapi sangat efisien dan sangat menepati masa. Rujuk halaman Airport Transfer Haneda yang saya kongsikan. Pendapat saya, saya lebih suka menggunakan perkhidmatan awam mereka sekiranya saya terus ke tempat penginapan di sekitar Tokyo kerana lebih jimat dan mudah. Tetapi memandangkan kami akan bermalam di area Disneyland, pilihan airport trasfer memang tepat bagi mengelakkan kami bertukar tren sebanyak 3 kali.

 

IC Card Pasmo dan SUICA

Memandangkan destinasi kami pada musim bunga ini hanya di sekitar Tokyo, jadi tiada keperluan untuk kami membeli JR Pass untuk menaiki Shinkansen iaitu keretapi laju sepanjang kami disana. Kami hanya menggunakan IC kad iaitu Pasmo yang seakan Touch N Go seperti di Malaysia. Sebaik selesai di kaunter imigresen, kastam dan mengambil beg, kami melalui pintu keluar untuk ke ruang ketibaan. Kaunter informasi terletak di sebelah kanan.

Saya membuat temu janji dengan pemandu dari Klook di depan kaunter informasi. Sebelum kami berjumpa dengan pemandu dari klook tersebut, saya membeli tiket Pasmo di mesinnya bagi memudahkan kami untuk menggunakannya pada keesokan harinya. Di Haneda, terdapat pegawai perkhidmatan pelanggannya yang boleh berbahasa inggeris untuk membantu anda menunjukkan arah. Untuk kanak-kanak yang berumur dari 6 hingga 11 tahun, anda harus menunjukkan passpot bagi membuktikan umur mereka untuk mendapatkan harga tiket kanak-kanak. Terdapat 2 ic kad yang boleh anda beli di Tokyo, Jepun iaitu Pasmo dan SUICA. Kami memilih Pasmo kerana tiada processing fee yang akan dikenakan makanala SUICA sebanyak 220 yen akan dikenakan pada kad tersebut bila anda ingin memulangkannya semula. Jangan risau kerana mesin tiket disana terdapat pelbagai bahasa untuk anda pilih. Anda juga boleh menulis nama di kad Pasmo jadi ini juga memudahkan anda untuk mengenali yang mana satu kad kanak-kanak dan dewasa. Perbezaan antara kad untuk kanak-kanak dan dewasa ialah apabila kanak-kanak melalui laluan tiket, akan kedengaran bunyi seperti burung yang akan berbunyi tetapi tiada bunyi untuk kad bagi orang dewasa. Daripada bunyi tersebut meraka boleh mendapat tahu tiket yang dipakai oleh pengguna tersebut adalah kanak-kanak dan ini juga adalah salah satu cara mereka mengawal penipuan sekiranya orang dewasa yang membeli tiket kanak-kanak. Oleh itu pastikan anda membeli tiket yang betul. 

Ke Tempat Penginapan

Selesai urusan membeli kad pasmo, servis airport transfer membawa kami menaiki kenderaan iaitu Toyota Vellfire ke Mystays Maihama dan  perjalanan mengambil masa selama 1 jam. Kami bertolak dari airport pukul 11.30 malam dan tiba di hotel pukul 12.30 pagi bersamaan pukul 11.30 malam waktu Malaysia. Ianya memang waktu tidur anak kecil jadi pilihan airport transfer memang terbaik untuk kami yang tiba lewat malam memandangkan suami saya yang baru pertama kali ke sana agak risau jika di dalam tren ramai orang dengan membawa beg yang banyak. Setibanya di Mystays Maihama, kami juga agak lega kerana kami tidak perlu terkejar-kejar untuk berhubung dengan tuan rumah sekiranya kami menggunakan perkhidmatan airbnb. 

Sewaktu kami tiba di hotel, ada seorang penyambut tetamu yang menyambut kami dan boleh berbahasa English dengan baik. Kami menempah bilik Triple memandangkan kami ada 3 orang dewasa dan 2 kanak-kanak. Bilik hotel di Jepun tidaklah sebesar bilik di Malaysia dan bilik air juga cukup-cukup untuk seorang tetapi ianya amat bersih dan cantik susun atur didalamnya. Hotel-hotel di Jepun walaupun bersaiz kecil dibandingkan dengan Malaysia, tetapi kebersihan adalah perkara penting yang mereka utamakan. Pastikan anda memilih hotel yang boleh memerima anda lewat malam jika penerbangan anda lewat kerana terdapat juga sebahagian hotel di Jepun terutamanya yang kecil, kaunter penyambut tetamu hanya akan dibuka sehingga pukul 10 malam. 

Antara kelebihan kenapa kami suka tinggal di rangkaian Mystays di Jepun ialah, anda boleh berhubung dengan mereka secara online dan mereka akan menjawab segala pertanyaaan anda. Pekerja bantuan perkhidmatan pelanggan di atas talian juga pandai menulis dan fasih berbahasa ingeris. Kenapa kami suka tinggal disini antara kelebihannya adalah seperti di bawah:

1. Dekat ke Disneyland

2. Mereka ada shuttle bus ke Disneyland

3. Terdapat microwave, air panas, air batu, gula, coffee dan tea (seperti gambar di bawah)

4. Terdapat juga restoran tetapi kami tidak makan di sini memandangkan kami agak ragu dengan makanan dan kandungannya. Kami makan makanan yang kami bawa dari Malaysia.

Tamatlah hari pertama kami menjejaki bumi Jepun bersama keluarga. Bersambung pula untuk aktiviti kami pada hari kedua dengan klik link dibawah.

  1. Persiapan Sebelum Melancong
  2. Jadual Perjalanan
Please share and like our webpage