Pengurusan Masa Bagi Wanita Berkerjaya, Keluarga dan Diri Sendiri

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran” (Surah Al-Asr,Ayat 1-3)

Sebagai seorang hamba Allah, ibu, isteri, anak dan juga berkerjaya, komitmen dalam pengurusan masa amat tinggi yang saya perlukan. Ditambahkan pula dengan perkara-perkara lain yang ada dalam akitiviti harian. Bila saya beralih pada hobi terbaru iaitu kepada bidang penulisan blog, pengurusan masa dan disiplin yang tinggi amat saya perlukan bagi memastikan kehidupan saya adil dan saksama dalam melakukan tugasan-tugasan tertentu. Sebagai wanita Muslim, tiada halangan untuk isteri bekerja membantu para suami asalkan mendapat keizinan dan sokongan daripada keluarga. Tiada perbezaan ketara antara budaya wanita di Malaysia dengan wanita negara lain, cuma yang menjadi asas penting adalah perlunya wanita bekerjaya untuk bijak mengimbangi komitmen pada tugas dan tanggungjawab pada keluarga. Ini adalah multitasking yang memerlukan pengurusan masa yang baik. Saya cuba menggunakan masa yang terluang untuk melakukan perkara-perkara yang bermanfaat.

Rutin Pagi (Sebagai Hamba Allah, Ibu, Isteri dan Penulisan)

Seawal jam 5.30 pagi jadual saya akan bermula setiap hari. Sebagai seorang Muslimah, pelbagai perkara yang baik-baik harus kita mulakan seperti solat sunat, mengaji dan berzikir. Sejujurnya saya cuba menjadi seorang yang konsisten dan cuba untuk terus beristiqomah dalam ibadat-ibadat yang saya boleh lakukan terutamanya dalam solat sunat sebelum subuh. Dalam 30 minit hingga 45 minit masa yang saya peruntukkan untuk mengabdikan diri pada yang esa di pagi hari dan jika terluang pada waktu malam.

Ditambah pula komitmen saya dalam penulisan blog ini membuatkan saya harus melakukan banyak perkara di pagi hari sementara suami dan anak-anak masih diulit mimpi.Jadi selepas habis ibadah yang saya lakukan, saya akan berfikir tentang perkara-perkara yang boleh memberi idea saya dalam bidang penulisan. Lagipun bila umur sudah meningkat, keperluan tidur semula selepas subuh tidak ada lagi dalam kamus saya buat masa ini. Semoga ia boleh berterusan.

Mempunyai anak-anak kecil, sepasang lelaki dan perempuan iaitu lelaki berumur 10 tahun dan perempuan berumur 2 tahun. Di awal pagi seperti ibu-ibu lain tugas mengejutkan anak ke sekolah dan memastikan dia solat adalah tanggungjawab seorang ibu. Keperluan-keperluan lain telah disiapkan oleh pembantu saya. Bantuan pembantu rumah dalam hidup saya membantu banyak perkara seperti mengemas rumah. Syukur alhamdulilah. Memandangkan suami dan anak-anak tidak bersarapan di rumah jadi saya punya banyak masa sebelum ke tempat kerja. Selepas masa beribadah diperuntukkan, membuat persiapan anak untuk kesekolah dan selepas itu saya mengambil peluang dengan bersenam ringan sambil mendengar Tanyalah Ustaz di tv.

Selepas itu saya akan mengambil masa dalam 15 ke 20 minit untuk membaca atau menulis. Tetapi jika si kecil sudah bangun tugas untuk bermain sebentar diperlukan untuk mengambil hatinya sehinggalah sampai waktunya saya ke pejabat pada pukul 8 pagi. Jarak diantara rumah dan pejabat juga membantu saya banyak perkara. Pada 5 tahun yang lepas lokasi tempat kerja saya adalah di segitiga emas KLCC dan seawal pukul 6.30 pagi sudah keluar rumah. Memandangkan sekarang ini jarak rumah dan tempat kerja terlalu dekat keperluan saya untuk kerja di tempat lain adalah paling terakhir ingin saya lakukan. Banyak masa habis di jalanan adalah pengalaman yang telah saya lalui berbelas tahun. Mungkin cukup sudah pengalaman itu untuk saya kecuali jika ditakdirkan saya pindah rumah atau bekerja di tempat lain.

Kerjaya

Di tempat kerja, saya seorang yang terlibat dalam urusan-urusan pentadbiran dan strategik. Tuntutan pekerjaan membuatkan saya selalu sibuk dengan urusan operasi dan perancangan-perancangan baru yang harus saya lakukan. Ada seorang staf yang sekarang ini sedang bertungkus lumus dalam bekerja sambil berniaga. Antara perkongsian yang kami bincangkan ialah Kerja itu Satu Ibadah yang membawa kita ke syurga jadi bekerjalah dengan bersungguh-sungguh. Sebagai seorang yang bekerja, kita boleh buat apa yang kita mahu lakukan di luar waktu pejabat tetapi ia memerlukan komitment dari segi pengurusan masa.

Setiap minit yang ada dalam hidup ini tidak boleh kita sia-siakan. Ilmu di dalam alam pekerjaan saling berkaitan dengan ilmu perniagaan. Jika anda ingin berniaga, perancangan-perancangan serta pemikiran-pemikiran yang boleh buatkan kita berjaya sama juga seperti di alam pekerjaan. Tapi sekarang ini, ramai orang yang bekerja tetapi berniaga dan tidak fokus di dalam waktu kerja. Jika ini berlaku ada sebaiknya anda memikirkan sama ada untuk berhenti jika perniagaan lebih memerlukan masa anda dan sekiranya perniagaan itu boleh mendapat untung yang berlipat ganda dari pekerjaan. Jika tidak cuba bahagikan masa yang terbaik untuk anda bekerja sambil berniaga.

Saya seorang begitu teliti dengan kerja yang saya lakukan dan suka berfikiran jauh kerana tugas-tugas perancangan masa depan amat diperlukan dalam pekerjaan.Di dalam waktu kerja cerita tentang peribadi, keluarga dan kerjaya dapat saya bahagikan dengan baik. Ini mungkin menjadikan saya boleh membahagikan masa dengan baik mengikut keadaan yang saya ada. Melainkan ada masaalah-masaalah atau perkara yang berkaitan dengan keluarga jadi dengan adanya cuti tahunan ia membolehkan saya untuk membahagikan antara keperluan peribadi dan kerjaya.

Hobi

Saya mempunyai beberapa hobi antaranya membaca, bermain dengan anak-anak dan sekarang bertambah di dalam penulisan blog iaitu travelogue saya dan keluarga. Penulisan membuatkan saya mendapat satu kepuasan terutama bila saya bercerita tentang minat saya yang mahal ini iaitu melancong. Masa untuk penulisan akan saya peruntukan sehari dalam satu jam jika waktu bekerja dan dua hingga tiga jam jika bercuti. Jika terdapat idea-idea baru dalam penulisan, akan saya tulis dalam handphone saya supaya tidak terlupa. Amalan ini telah saya praktiskan sedari saya di bangku sekolah lagi. Kerana itu dengan adanya teknologi seperti telefon bimbit yang boleh menulis sekarang ini, menjadikan kehidupan kita begitu mudah dalam membagikan masa dengan membuat sesuatu catatan atau perkara tentang kehidupan. Masa dan idea-idea untuk menulis tidak bokeh dicampuradukkan di dalam waktu kerja.Ini penting dalam saya membahagikan masa.

Di dalam kehidupan ini, kita tidak lari dengan pelbagai tanggungjawab. Antara tips yang saya sering lakukan ialah, kita haruslah bahagikan masa dengan mengasingkan kehidupan kita dengan kompatmen-kompatment penting supaya kita boleh berfikir secara rasional dan bertindak mengikut keperluan kompatmen-kompatmen tersebut. Sebagai contoh jika kita beribadah, beribadahlah dengan bersungguh-sungguh kerana masa yang ada itu antara kita dengan yang esa. Jika kita bekerja, tumpukan pemikiran kita dengan pekerjaan supaya kita dapat menjadi lebih produktif dalam pekerjaan.Jika kita mempunyai hobi lakukan sewaktu anda santai-santai dan terluang kerana ia membantu kita untuk melakukan perkara-perkara yang kita suka.

Keluarga Dan Kawan-Kawan

Walaupun kita mempunyai pelbagai perkara di atas yang ingin kita lakukan. Tanggungjawab sebagai anak, adik, kakak atau abang harus kita titikberatkan. Selain itu perhubungan dengan manusia iaitu kawan-kawan juga penting dalam mewarnai kehidupan kita. 

Jika anda pandai menggunakan masa dengan bijak anda pasti boleh melakukan banyak perkara di dalam hidup anda. Gunalah peluang yang ada dalam masa yang terluang untuk melakukan perkara-perkara yang berfaedah di dalam kehidupan.

Please share and like our webpage

Leave a Reply

Your email address will not be published.