Percutian Pendek Ke Kuala Selangor

Pada 11 Ogos 2019 adalah ulangtahun perkahwinan saya. Tetapi kerana  hari tersebut jatuh pada hari raya korban dan suami pula sibuk dengan aktiviti korban di masjid, jadi kami hanya menyambutnya di rumah. Kebetulan minggu berikutnya kami ada jemputan perkahwinan di Tanjung Karang jadi perancangan percutian yang tidak dirancang terjadi. Pada mulanya saya ingin terus ke Sekinchan atau Tanjung Karang untuk menyewa homestay yang mempunyai kawasan sawah padi. Tetapi kebetulan minggu itu adalah cuti sekolah, sangkaan saya mungkin banyak homestay yang kosong tetapi sebaliknya yang terjadi dan semua homestay yang menarik minat kami sudah penuh dan begitu juga di kawasan Tanjung Karang. Jadi pilihan akhir ialah tinggal ke Kuala Selangor. 

Jarak dari rumah saya Gombak, Kuala Lumpur ke Kuala Selangor ialah 70km.

        

Kami bergerak dalam jam 6.30 petang dari rumah selepas pulang dari kerja. Semua persiapan sudah dilakukan awal pagi sebelum ke tempat kerja. Jadi bila pulang dari tempat kerja kami terus bersiap dan percutian pendek ini pun bermula. Memandangkan hari Jumaat dari Gombak ke Lebuhraya Latar agak sesak sedikit tetapi masih bergerak lancar. Destinasi kami yang pertama ialah menikmati makan malam di Restoran Aroma Ikan Bakar.

 

 

 

 

Selepas makan malam, kami mencari hotel untuk bermalam dan kerana ia adalah perancangan yang tidak terancang di Kuala Selangor. Selepas mencari beberapa hotel secara online dan seperti biasa saya akan menggunakan applikasi Trivago atau Traveloka. Akhirnya kami memilih untuk tinggal di hotel Sea Lion yang terletak di pekan Kuala Selangor iaitu 16km dari Restoran Ikan Bakar. 

Penginapan di Kuala Selangor

Hotel Sea Lions, Kuala Selangor

Alamat

21 Jalan Seri Temenggung 3,
Taman Seri Temenggung,
45000 Kuala Selangor,
Selangor, Malaysia.

Tel: +603 3289 8121
Fax: +603 3289 6121
E-mail: info@sealion.com.my

website link tekan disini

Lokasi hotel ini sangat strategik dan berada betul-betul di Bandar Kuala Selangor. Sangkaan saya Kuala Selangor hanya merupakan pekan kecil tetapi ternyata terdapat pelbagai kemajuan yang ada di kawasan ini. Ia juga adalah satu destinasi pelancongan yang terkenal di sekitar Selangor. Kedudukannya di sebelah jalan besar Kelang ke Teluk Intan dan di depan hotel juga terdapat restoran Mc Donalds, KFC, bank dan masjid besar iaitu Masjid Sultan Ibrahim.  Konsep hotel ini sangat unik kerana ia menggunakan konsep firefly iaitu kelip-kelip yang cukup sinonim di Kuala Selangor. Kami mengambil bilik keluarga yang mempunyai satu katil single dan satu lagi double. Terdapat juga kolam renang yang kecil bersebelahan lobi hotel yang dibuka setiap pukul 8.00 pagi. Sudah tentu anak-anak saya cukup teruja bila kelihatan kolam renang di situ. Kerana kami cukup selesa untuk tinggal di situ, akhirnya kami memutuskan untuk bermalam selama 2 malam disitu. Biliknya agak kecil tetapi tetapi selesa untuk keluarga kecil kami. Ia mengingatkan saya ketika ke Jepun sebelum ini dan ada hotel yang kami tinggal mempunyai ruangan yang sungguh terhad dan lebih kecil dari hotel ini. Harganya adalah dalam sekitar RM700 semalam tetapi hotel ini cuma RM180.00 

        

Tempat-Tempat Menarik Di Kuala Selangor

1.Bukit Melawati

Destinasi wajib kami ke Kuala Selangor ini ialah ke Bukit Melawati. Dari hotel yang kami tinggal ialah 1.9km. Kedudukan Bukit Melawati cukup strategik kerana terletak di kuala Sungai Selangor yang menghadap laut Selat Melaka dan Sumatra, Indonesia. Pemandangan di puncak Bukit Melawati ini memang menarik dan kita boleh melihat pemandangan Selat Melaka. Terdapat pelbagai cerita sejarah yang boleh anda belajar di sini tentang Kesultanan Selangor serta bagaimana saling berkaitan. Mengikut sejarah, Bukit Malawati ini pernah ditakluki oleh Belanda dari tangan Sultan Ibrahim (Julai 1784). Setahun kemudian pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Dato’ Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Adb. Majid Pahang, telah menghalau Belanda dalam tempoh satu malam sahaja. Serangan yang bermula selepas waktu Isyak itu telah berjaya menawan bukit ini sebelum fajar subuh menyinsing. Di atas Bukit Malawati terdapat beberapa buah rumah pegawai-pegawai tinggi kerajaan, sebuah rumah rehat, rumah api dan kesan-kesan sejarah.

Apa yang ada di sini ialah :

2.Rumah Api Kuala Selangor

Rumah api ini dibuka pada 1907 oleh penjajah British, berdekatan dengan muara Sungai Selangor. Tinggi rumah api ini adalah 83 meter dari dasar laut dan 27 meter dari darat dengan sinaran lampunya mampu memancar sehingga 56 kilometer. Lampu cerah akan berpusing dan berkelip dua kali setiap 15 saat. Pada awalnya, lampu ini menggunakan minyak tanah dan generator kemudian dijana dengan kuasa elektrik kerana lebih bersih dan jimat. Rumah api ini menjadi pedoman kepada pelayar Selat Melaka dan menjadi penanda pintu laluan keluar masuk ke perairan Selangor. Rumah Api Kuala Selangor mulanya bernama ‘Rumah Api Altingsburg’ sempena nama seorang Gabenor Belanda kerana Belanda pernah berkuasa ketika itu dan Belanda mengumpul bijih timah dari Selangor dan Perak . Ia dibina pada tahun 1907 dan beroperasi secara rasmi pada 1910. Sejarah rumah api di Malaysia bermula sejak zaman penjajahan Inggeris dan dari tahun 1826, rumah api di pesisiran pantai negara dikenali sebagai ‘The Straits Settlements Lighthouses’.

3.Kubu pertahanan dan beberapa buah meriam lama

Antara perkara menarik pengunjung boleh mengetahui sejarah nama Selangor, peristiwa penaklukan Kota Melawati oleh Belanda dan serangan balas Sultan Ibrahim yang dapat menakluk kembali Kota Melawati dalam masa sehari sahaja. Pengunjung turut berpeluang melihat sendiri kesan artifak peninggalan sejarah yang terdapat di sekitar kawasan puncak Bukit Melawati yang menandakan wujudnya kota pentadbiran dan pertahanan negeri suatu masa dahulu.

4.Muzium Kuala Selangor

Muzium yang dahulunya merupakan kediaman rasmi bagi pegawai daerah Kuala Selangor sekitar 1960 kini diubah suai pada 2006 untuk dijadikan sebagai muzium bersejarah kesultanan Selangor. Tiada bayaran masuk akan dikenakan kepada pengunjung manakala permohonan bagi lawatan berpandu boleh dihantar kepada pihak pentadbiran muzium secara email ke info@padat.gov.my atau hubungi 0332896115.


5.Kereta api mengelilingi Bukit Melawati (Tram)

Tram ini beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum. 

Waktu Operasi : 9.00 pagi – 6.00 petang ( Sabtu, Ahad dan Cuti Umum )

Bayaran perkhidmatan trem :

Lawatan ke Bukit Malawati sahaja:

RM 3.00 / dewasa
RM 2.00 / kanak-kanak ( 3-12 tahun)

Di sekitar Bukit Melawati ini juga, anda akan berjumpa banyak monyet di persekitarannya yang amat mesra dengan manusia.

6.Sky Mirror Kuala Selangor

Jika ada masa, anda juga boleh juga ke Pantai Cermin atau laman webnya ialah Sky Mirror Malaysia . Lokasinya tidak jauh dari Kampung Sasaran, Kuala Selangor iaitu perkampungan nelayan masyarakat Cina. Dalam bahasa Cina, ia disebut ‘Shasha Lan’ dan terjemahannya dalam bahasa Melayu adalah ‘Sasaran’. Anda juga dinasihatkan supaya membawa bekalan makanan seperti roti dan air mineral. Tandas pula sukar didapati di kawasan pantai. Jadi, anda perlulah bersiap sedia dalam segala hal.

Pastikan anda membuat tempahan terlebih dahulu untuk mengelakkan nasib seperti kami kerana tiket sudah habis dijual untuk minggu tersebut. Harga seorang untuk ke pantai ini ialah RM80 untuk dewasa dan RM60untuk kanak-kanak. Mahalkan! Tetapi ia termasuk:

  1. Menaiki bot pergi dan balik 
  2. Insuran
  3. Photo
  4. Sebotol Air Mineral
  5. Nasi Lemak dan makanan ringan
  6. Pengunaan Fasiliti di Jeti  

Anda harus ke Jeti Kampung Sasaran dan perjalanan menaiki bot ke sini ialah 30 minit. Sky Mirror yang juga digelar Salar De Uyani Malaysia ini menawarkan pemandangan cukup mempesonakan. Lihat saja gambar yang dirakamkan. Seperti cermin besar dihamparkan secara semula jadi dan langit pula dilihat di atas cerminan air yang cukup menakjubkan. Menariknya, untuk mendapatkan fenomena ini, ia tidak kerap berlaku kerana hanya terjadi enam hari setiap bulan mengikut kalendar lunar masyarakat Cina iaitu pada hari pertama, kedua, 12, 15, 16 dan 30. Waktu berlaku air surut pula antara jam 10.30 pagi hingga 11 pagi. Jadi, anda haruslah bijak merancang perjalanan untuk memperoleh keunikan di ‘pulau misteri’ ini.

7.Kelip-Kelip Kampung Kuantan

Saya pernah ke sini bagi merasai suasana melihat kelip-kelip di sini. Di dalam kegelapan malam, anda akan dapat melihat si kelip-kelip bercahaya dipesisiran sungai. Tetapi memadangkan saya membawa anak yang masih kecil lagi, kali ini saya tidak pergi ke sini kerana ianya kurang sesuai untuk si kecil kami yang akan digigit nyamuk. Tetapi jika anda ingin pergi, dinasihatkan supaya anda memakai spray nyamuk bagi yang takut digigit nyamuk.

Serba sedikit mengenai kelip-kelip ialah kelip-kelip adalah sejenis serangga dari kumpulan kumbang. Specis jenis ‘Pteroptyx tener’ adalah sepsis yang terbanyak sekali terdapat di Kampung Kuantan. Keunikan yang ada pada Kelip-kelip ini adalah pada ekornya, yang mengeluarkan kelipan cahaya. Yang menjadikan Kelip-kelip ini lebih unik lagi ialah kelipan cahaya yang dikeluarkan oleh serangga ini adalah serentak pada setiap masa iaitu pada kadar 3 kelipan sesaat. Dalam ribuan Kelip-kelip ini cahayanya bagaikan satu rentak yang bercahaya. Kelip-kelip berukuran cuma 6mm panjang. Kelip-kelip jantan mengeluarkan cahaya yang lebih terang berbanding yang betina untuk tujuan menarik perhatian Kelip-kelip betina. Jangka hayat Kelip-kelip ialah selama 2 hingga 3 bulan.

Pokok berembang pula amat penting kepada Kelip-kelip sebagai sumber makanan. Pokok Berembang atau ‘Sonneratia Caseolaris’ adalah sejenis pokok bakau yang tumbuh liar di tebing Sungai Selangor. Ia memerlukan keadaan cuaca yang lembap dan persekitaran berpaya. Selain daripada itu, pokok Berembang juga penting sebagai habitat serta bertindak sebagai penapis kotoran dan racun dan mengeluarkan air bersih untuk hidupan yang terdapat di dalam sungai.

Lokasi : Sungai Selangor, Kg Kuantan

Tarikan : Mengharungi sungai Selangor dengan menaiki sampan untuk melihat keunikan kelip-kelip.

Kemudahan : Pusat Informasi, kaunter tiket, mini teater, jeti, gerai makanan, taman  permainan kanak-kanak, tandas awam, kedai cenderahati dan tempat letak kenderaan.

Waktu Operasi :

7.30 malam – 10.30 malam ( Setiap hari )

Bayaran perkhidmatan sampan: RM50.00 / sampan (maksimum 4 orang dewasa)
* Tempoh menaiki sampan lebih kurang 20 minit untuk satu perjalanan ( pergi dan balik)

Pertanyaanboleh layari laman web Majlis Daerah Kuala Selangor di sini http://www.mdks.gov.my/ms/pelawat/destinasi-menarik/kelip-kelip-kg-kuantan

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi :-

E-mail : ydp@mdks.gov.my / sumd@mdks.gov.my / pelancongan@mdks.gov.my
Tel : 03-32891439 / 1549 Fax : 03 3289 1101

 

Jalan-Jalan Cari Makan Di Kuala Selangor

1.Restoran Aroma Ikan Bakar Jeram, Kuala Selangor

Alamat:

Restoran Aroma Ikan Bakar,

Jalan Jati, 45800 Jeram, Selangor

Di sini terdapat pelbagai makanan laut yang disediakan dan harganya juga agak berpatutan. Kami selalunya datang pada hari Sabtu atau Ahad dan tempat duduk selalunya akan penuh dan harus ditempah terlebih dahulu. Mungkin kerana kali ini kami datang pada hari Jumaat jadi pelanggan tidak ramai seperti biasa. Jadi masa penyediaan makanan juga sangat cepat. Di restoran ini juga disediakan surau dan terdapat banyak tandas untuk kemudahan pelanggan. Dulu konsep di restoran ini agak berlainan dari yang sekarang. Terdapat beberapa pondok khas disediakan dan kita boleh makan secara privasi dengan keluarga sahaja. Tetapi mungkin kerana sambutan yang menggalakkan, pihak pengurusan restoran ini sudah bertukar kepada konsep yang lebih terbuka jadi banyak meja dapat disediakan untuk pelanggan.

Antara tempat-tempat yang sempat kami singgah makan di sini selain Restoran Aroma ikan bakar ialah seperti di bawah: 

2.Warung Soto Pasir Penambang

Alamat:

Lot 321, Batu 2, Pasir Penambang, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu Operasi:

10.00 pagi – 10.00 malam

Hari Operasi:

Setiap Hari

Memandangkan hotel yang kami tinggal mempunyai sarapan yang simple iaitu nasi lemak dan minuman panas sahaja. Kami hanya mengambil pakej bilik tanpa sarapan pagi. Selama di sana kami bersarapan pagi di warung soto pasir penambang yang terletak kira-kira 11km dari hotel yang kami tinggal.

Pengunjung boleh memesan tiga jenis soto antaranya soto berserta nasi himpit biasa, soto begedil dan soto istimewa yang dilipat gandakan kandungan isi ayam dan bergedil di dalamnya. Harganya RM4 hingga RM5. Kepekatan kuah sup, ditambah aroma rempah ratus dan tauge yang ditanam sendiri pasti membangkitkan selera sesiapa saja yang kali pertama merasai sendiri di Warung Soto Pasir Penambang, yang terletak di tepi jalan lama Kuala Selangor menghala ke Tanjung Karang. Selain daripada soto terdapat juga pelbagai makanan lain seperti ayam penyet, Harga makanan juga berpatutan dan restorannya yang luas serta menjadi laluan utama ke jalan lama menghubungkan Kuala Selangor dan Lumut menyebabkan restoran ini tidak putus dikunjungi pengunjung dari dalam dan luar Selangor.

3.Mee Udang Banjir Udang Galah

Alamat:

587, Jalan Batu 2, Pasir Penambang, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu Operasi:

12.00 tengahari – 11.00 malam

Hari Operasi:

Setiap hari

Sebelah malamnya pula kami singgah ke sini dan terdapat pelbagai jenis mee udang yang ada. Restoran ini terletak di tepi jalan lama Kuala Selangor menghala ke Tanjung Karang. Restoran ini juga berdekatan dengan kedai Cendol Borhan yang terkenal. Terdapat pelbagai jenis mee udang yang disediakan termasuk juga saiz yang ada dan harganya berbeza mengikut jenis udang yang dipilih. Kenapa ia dikenali dengan mee udang banjir kerana realitinya memang terdapat banyak udang di dalam mee tidak seperti mee udang yang biasa. 

4. Cendol Durian Borhan

Alamat:

Kampung Permatang, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu Operasi:

10.00 pagi – 7.30 malam

Hari Operasi:

Setiap Hari

website 

Kedai ini juga letaknya di tepi jalan lama Kuala Selangor menghala ke Tanjung Karang. Terdapat pelbagai jenis cendol yang disajikan dan juga pelbagai makanan yang disediakan. Dari review yang saya perolehi dari laman web lain, cendol Borhan ini juga terdapat di cawangan lain selain dari Kuala Selangor ini. Tetapi rasa dan mutu cendolnya yang terdapat di Kuala Selangor ini tidak boleh dibandingkan di tempat lain. 

Menarikkan apa yang ada di Kuala Selangor ini. Jomlah cuti-cuti Malaysia kesini. 

Jejak Travel Santai

 

 

 

Please share and like our webpage