Tokyo Disneyland

 

Bertolak ke Disneyland

Memandangkan anak-anak masih lagi lena tidur kami menempah shuttle ke Disneyland di kaunter penyambut tetamu dan ke Disneyland pada pukul 9.30 pagi. Kelebihan duduk di hotel sekitar Disneyland ialah terdapat shuttle bas yang boleh membawa kami ke Disneyland. Hotel Mystays Maihama yang kami menginap berada 1.2km dari Disneyland. Seawal pukul 7.35 pagi shuttle bas sudah menghantar pelanggan hotel ke Disneyland dan bas terakhir ialah pada pukul 10.35 pagi. Manakala waktu balik pula pada pukul 10.30 malam. Jika anda tidak tinggal berdekatan dengan Disneyland tetapi tinggal di sekitar Tokyo, anda boleh rujuk disini tentang Bagaimana Untuk Ke Disneyland Dari Tokyo

 

Stesen Resort Gateway

Shuttle bas yang kami naik akan berhenti di stesen Maihama dan perjalanan hanya mengambil masa selama 5 minit sahaja. Sebaik tiba di Stesen Maihama, kami sambung dengan menaiki keretapi Monorel ke Disneyland. Anda juga boleh juga terus berjalan kaki dari Stesen Maihama Disneyland dan akan melalui Shopping Mall  yang namanya Ikspiari kerana jaraknya cuma 500m dari stesen Maihama. Memandangkan saya membawa anak kecil dan ayah yang sudah tua, kami harus menyimpan tenaga untuk mengelilingi kawasan Disneyland nanti, jadi kami tidak berjalan kaki tetapi menaiki keretapi Monorel Disney Resort. Tiket monorel boleh dibeli di mesin tiket dan satu perjalanan adalah ¥260 untuk orang dewasa dan jika anda ingin keluar masuk Disneyland dan pergi balik hotel anda juga boleh mendapatkan tiket monorel untuk satu hari yang berharga ¥650 . Jangan risau jika anda tiba di Stesen Maihama, untuk berjalan ke arah Stesen Resort Gateway dimana monorel berada sangat dekat. Kami menaiki monorel dan berhenti di depan entrance Tokyo Disneyland. Untuk memasuki Disneyland, kami sudah membeli tiket di Malaysia dan kami tidak perlu beratur lagi di sana. Hanya tunjjukkan kupon tiket dan setelah diperiksa, sudah boleh masuk. Anda boleh membeli dari HIS travel ataupun JTB. Boleh rujuk pada website mereka.

Sekiranya anda tidak ingin membeli tiket terlebih awal, anda juga boleh membeli tiket disana dan terdapat pelbagai jenis kategori yang disediakan seperti gambar dibawah. Untuk maklumat lanjut, periksa laman web mereka. Anda juga boleh menempah stroller di dalam Disneyland.

Tokyo Disneyland

Di dalam Disneyland ianya dibahagikan kepada 7 kawasan seperti di dalam gambar di bawah. Kami lebih kepada berjalan di sekitar Disneyland. Tujuan kami bukan nak untuk bermain tetapi lebih kepada ingin menonton perarakan yang ada disitu dan persembahan bunga api di waktu malam. Kami ada   masuk beberapa permainan yang tidak beratur panjang. Jika anda memang merancang untuk bermain semua permainan, pastikan anda mengambil fast pass yang disediakan di beberapa tempat permainan. Rujuk website Tokyo Disneyland untuk maklumat lanjut.

Makanan Halal Dan Tempat Makan Di Disneyland

Untuk mencari makanan halal di Disney Resort agak sukar. Ditambahkan pula kami sekeluarga jenis yang agak ragu-ragu dengan makanan di sana walaupun ada yang menulis pork free atau muslim friendly. Saya telah menempah makanan dari rakyat Malaysia yang tinggal di sana yang dikenali dengan Nanie’s Cooking. Nani tinggal sekitar kawasan Maihama berdekatan dengan Disneyland. Sebelum kami ke Disneyland, suami Nani menghantar makanan kepada kami ke hotel pagi tu dalam pukul 8 pagi sebelum kami ke Disneyland. Makanannya memang agak mahal tapi lebih mudah dari kami tercari-cari makanan halal di Disneyland nanti. Nanie pun baik  orangnya dan ramah ketika kami berhubung melalui whatsapp. Menurut nani, kami adalah pelanggannya yang pertama menggunakan bekas makanan yang boleh dipanaskan sendiri.Kami menempah set ayam merah, salmon, takoyaki dan onigiri. Terdapat tempat khas yang disediakan pada pelanggan Disney yang mebawa bekal dari luar. Jika diikutkan makanan luar tidak boleh di bawa masuk ke dalam tetapi apabila pekerjanya melihat beg kami, kami beritahu muslim food mereka beri kebenaran untuk dibawa masuk. 

Bilik Nurseri Untuk Bayi

Di Disneyland terdapat beberapa bahagian untuk nurseri bayi. Kami pergi yang bersebelahan dengan Tomorrowland. Terdapat juga air panas dan tempat makan. Sewaktu kami dibilik itu ramai ibu bapa yang berbangsa Jepun memberi anak mereka makan. 

Bilik Sembahyang

Manakala untuk bilik sembahyang bagi orang Muslim, disana tiada surau khas yang disediakan tetapi anda harus pergi ke Kaunter Pertanyaan (Information Counter ) yang terletak di bahagian pintu masuk Disneyland dan beritahu yang anda perlukan bilik untuk anda solat atau di dalam bahasa Jepun dipanggil oinori おいのり. Mereka akan memberi anda bilik khas untuk anda solat dengan tenang dan tempat wuduk ada disebelah bilik tersebut.

Perarakan Di Disneyland

Terdapat beberapa perarakan dan persembahan di sekitar Disneyland iaitu Dreaming Up, Nightime Parade, Celebrate Tokyo Disneyland Electrical Parade, Let’s Party Gras, Lilo’s Luau and Fun and One Man’s Dream. Anda boleh rujuk pada jadual perarakan dan persembahan disini. Kami agak rugi ketika kami pergi Disneyland kali ini  kerana saya terlupa untuk memeriksa jadual di Disneyland. Pada waktu kami pergi, Disneyland tutup lebih awal. Memandangkan anak-anak pun sudah keletihan dan kami mengambil teksi untuk pulang ke hotel. Stesen teksi dan bas betul-betul berada di sebelah Disneyland dan ianya amat mudah sekiranya anda tinggal disekitar. Tetapi jika anda menaiki keretapi, anda harus patah semula ke Stesen Maihama untuk mengambil keretapi ke destinasi tujuan anda. Harga tambang teksi di Jepun ialah standard bermula dari 660 – 680 yen untuk 2 km yang pertama dan 80 yen untuk setiap tambahan 296 meter. Memandangkan hotel yang kami tinggal berada dekat dan kami tidak risau untuk menggunakan perkhidmatan teksi. Jika tidak harganya pasti melambung tinggi. Shuttle bas yag kami naik pada paginya tidak menyediakan bas selain dari waktu yang dikhaskan iaitu pukul 9 dan 10 malam. Jadi kami mengambil teksi untuk pulang ke hotel.

Please share and like our webpage