Melancong

Mengapa Pergi Melancong

Pada masa kini, melancong menjadi perkara biasa untuk ramai orang. Ia adalah aktiviti santai menjauhkan diri dari kehidupan biasa, pekerjaan dan masaalah. Jika kita bertanyakan pada seratus orang, kita akan mendapat pelbagai jawapan mengapa mereka suka, melancong. Melancong ialah tentang keseronokan dan kegembiraan, tentang rehat dan relaksasi dan tentang apa yang kita mahu atau inginkan dari pelancongan tersebut. 

Walaupun melancong memerlukan belanja yang besar berbanding dengan kehidupan seharian kita, tetapi kita masih boleh meminimumkan kos tersebut seperti melancong santai secara sendiri tanpa agensi pelancongan atau backpacker jika ke luar negara antaranya yang boleh anda cuba ialah mungkin tinggal di hostel, apartment, memasak makanan sendiri dan mengambil pengangkutan awam dan tidak semestinya anda hanya perlu melancong ke luar negara, malahan di negara sendiri juga. Jadi ini serba sedikit membantu kita meminimumkan kos. Apabila kita melancong, kita akan mendapat perasaan yang berbeza kerana ianya berlainan dari kehidupan rutin kita yang biasa. Antara sebab-sebab dan kelebihan orang melancong:

Sebab utama mengapa orang melacong?

1.Untuk mengenali budaya baru. 

Apabila kita melancong, kita akan melalui dan mengenali banyak budaya yang berbeza. Di sepanjang perjalanan, kita akan melihat dan berhadapan pelbagai orang dengan pelbagai tingkah laku, cara hidup, bahasa, kepercayaan, adat resam, bahasa dan sebagainya. Daripada perkara-perkara yang kita lalui ini, Kepelbagaian budaya ini mengajar kita untuk menghargai nilai nilai perbezaan dan kita akan belajar banyak perkara. Agama Islam itu sendiri menggalakkan umatnya agar mengambil peluang daripada perbezaan tersebut untuk mengumpul seberapa banyak pengalaman melalui perbezaan yang wujud, di samping mendapat iktibar yang lain. Ia bukanlah bermaksud untuk memuji budaya tempat lain dan merendahkan keunikan yang terdapat di negara sendiri. Bak kata orang, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, tetapi lebih baik di negara sendiri. Ia hanyalah sekadar berkongsi sesuatu yang bermanfaat kepada kita semua. Melancong bukan hanya memerlukan kita melancong ke luar negara tetapi juga di dalam negara kita sendiri. Setiap negeri dan daerah mempunyai budaya yang berbeza untuk kita belajar dan rasai, makanan untuk kita rasa dan banyak lagi kelebihan dalam mengenali budaya baru.

2. Menjadi seorang pengembara.

Sesetengah orang suka mengembara kerana ingin melarikan diri dari kehidupan rutin mereka. Apabila kita mengembara, ia seperti kita mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baru dalam hidup. Dengan perjalanan itu, ia mengajar kita bagaimana untuk menjadi lebih bersyukur dengan kehidupan. Apabila kita melancong, perubahan suasana di tempat lain sedikit sebanyak menyumbang kepada ketenangan mental dan fizikal. Selain itu, fikiran kita juga lebih terbuka malah ia boleh membuatkan seseorang menjadi lebih optimis, penyabar, insaf serta membantu kehidupan. Dengan perjalanan ia mengajar kita bagaimana untuk menjadi sangat bersemangat dalam kehidupan. Apabila mengembara kita berpengalaman mengenali dan merasai pelbagai peristiwa di dalam perjalanan. Pengalaman-pengalaman inilah yang amat bernilai yang dapat kita kutip apabila di dalam pengembaraan.  

3. Menyaksikan keindahan bumi
Allah (swt) mencipta segala-galanya di Bumi dengan sebab untuk membuktikan kekuasannya. Kebanyakan kita sibuk dalam kehidupan di dalam dan jarang keluar dan melihat kecantikan semula jadi. Lautan, pergunungan, bintang-bintang, matahari terbenam dan ini semua tanda-tanda keagungan dan kesempurnaan Allah dalam penciptaan, dan apabila kita menilai semuanya, kita menyedari betapa kecil tempat yang kita duduk di atas dunia ini. Menyaksikan kejadian alam semula jadi adalah salah satu pengalaman yang paling indah yang harus dirasai. Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang menggalakkan manusia untuk mengembara iaitu:

Surah Al Mulk

Image quran.com

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.

Surah Muhammad

Image quran.com

Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu.

Surah Al An-Aam

Image quran.com

Katakanlah (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul) itu.

4. Hadapi ketakutan anda
Anda hanya takut apa yang anda tidak faham. Melancong membantu anda mengatasi kebimbangan dalam hidup; terdapat pepatah yang mengatakan, kehidupan bermula pada akhir zon selesa anda. Melancong dan mengembara mengundang peluang untuk anda tersesat dan menghadapi ketakutan anda tidak diketahui. Ia juga mencabar diri untuk menghadapi ketakutan dalam diri dan mengajar kita untuk jadi lebih berani dalam sesuatu peristiwa. Kita tidak perlu terlalu risau apabila mengembara kerana dewasa ini banyak maklumat-maklumat yang boleh di dapati. Dengan adanya maklumat-maklumat ini, ia akan membantu perjalanan anda menjadi lebih mudah dan bukannya ketakutan.   

5. Pelajari kehidupan
Melancong mengajar kita tentang kehidupan dan menjadi pengajaran yang boleh mengubah kehidupan seseorang. Apabila anda melancong, anda tidak saja membawa barang-barang dari tempat anda melancong. Ia juga mengajar kita tentang kehidupan dan kita belajar dari pengalaman-pengalaman tersebut. Jangan risau apabila anda menghadapi masalah semasa anda melancong kerana dengan perkara tersebut ia akan mengajar kita tentang kehidupan apa yang dapat kita perbaiki atau yang ingin kita rasai di masa depan.

6. Untuk meluangkan masa bersama keluarga, saudara atau rakan. 

Kenangan yang anda lakukan bersama akan menjadi kenangan sepanjang masa hidup anda. Perancangan percutian boleh menjadi tempoh yang hebat untuk bersama dengan orang yang anda sayangi dan anda juga dapat melihat bagaimana anda dan mereka bertahan dengan budaya dan pengembaraan yang baru. Ini juga boleh mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain dan pastikan juga anda pergi melancong dengan rakan-rakan yang boleh anda percaya dan sama tujuan supaya pelancongan itu menjadi lebih hebat dan bukannya pengalaman yang buruk.