Umrah – Menunaikan umrah di Masjidil Haram pada hari pertama

Miqat Di Qarnul Manaazil Diatas Udara

Sebelum menunaikan umrah, kita haruslah ber miqat untuk melakukan umrah. Miqat ialah sempadan tempat dan masa untuk berniat bagi menunaikan umrah. Pesawat kami berangkat seperti waktu yang ditetapkan iaitu pada pukul 10.30 pagi dan selama 8 jam di atas pesawat sebelum tiba di lapangan terbang Jeddah. Ketika di atas udara, satu jam sebelum tiba di Jeddah iaitu di Qarnul Manaazil, juruterbang memaklumkan pada jemaah untuk berniat dan dengan bantuan mutawif yang ada di dalam pesawat dan semua jemaah niat bermiqat. Mutawif kami mengajar niat umrah sebanyak dua kali iaitu umrah biasa dan umrah bersyarat bagi yang memerlukan untuk bersyarat. Ketika membaca niat, ianya hanyalah di dalam hati tanpa mengeluarkan suara. Sebaik-baiknya biarlah di dalam wuduk ketika niat dan di sinilah penggunaan spray wuduk amat berguna memandangkan tandas pesawat ketika ini ramai orang beratur untuk berwuduk. 

Mengapa Kami Memilih Untuk Umrah Sebelum Ziarah

Kami memilih untuk pergi menunaikan umrah terlebih dahulu dan ziarah ke Madinah selepasnya. Ini kerana kami ingin melaksanakan ibadah umrah kami yang pertama terlebih dahulu. Berihram dari rumah tidak menjadi penghalang untuk saya perempuan tetapi ia juga tidak menyukarkan buat suami saya. Melakukan umrah terlebih dahulu juga memudahkan kita kerana ibadah umrah yang merupakan tujuan utama sudah selesai dan selepas itu ketika di madinah ziarah sekitar madinah menjadi lebih selesa.

Ketibaan di Hotel Safwa Royale Orchid, 11.00 malam Mekah

Kami tiba di Mekah agak lewat iaitu dalam pukul 11.00 malam waktu Mekah. Perjalanan dari Jeddah ke Mekah mengambil masa selama 3 jam termasuk berhenti di R&R tetapi kerana kami bertolak lewat 2 jam dari Jeddah kerana kesulitan yang dihadapi pada jemaah kumpulan kami yang tiba-tiba pengsan sewaktu tiba di Jeddah. Jadi mutawif kami terpaksa menguruskan jemaah terbabit dengan urusan imigresen dan hospital. Alhamdulilah selepas urusan selesai jemaah terbabit dibawa ke hospital, bas kami bergerak dari Jeddah lebih kurang pukul 5.30 petang dan tiba di Mekah dalam pukul 10.00 malam. Jemaah terbabit menghadapi darah tinggi dan mungkin kerana perjalanan yang panjang dan tidak mempunyai rehat yang secukupnya kondisinya menjadi lebih teruk. Tetapi alhamdulilah pada hari yang ketiga kami di Mekah, jemaah terbabit telah keluar dari hospital dan sempat melakukan umrah dengan bantuan keluarga dan mutawif dengan berkerusi roda. Inilah kelebihannya apabila pergi bersama dengan agensi pelacongan kerana jika terjadi sebarang perkara yang tidak diingini kita ada orang yang boleh membantu dan dirujuk.

Kawasan tempat jemaah turun dari bas untuk ke Hotel Safwa Royal Orchid
Depan Hotel ke Masjidil Haram dengan jarak 50m sahaja ke pintu masuk masjid
Depan Hotel ke Masjidil Haram dengan jarak 50m sahaja ke pintu masuk masjid
Depan Hotel ke Masjidil Haram dengan jarak 50m sahaja ke pintu masuk masjid

Hotel kami menginap di Mekah ialah Hotel Safwa Royal Orchid yang jaraknya hanya 50m dari Masjidil Haram. Kami memilih untuk tinggal dengan masjid untuk memudahkan urusan ke masjid setiap kali waktu. Walaubagaimanapun, sekiranya anda tinggal dalam jarak beberapa ratus meter dari masjid, ini juga tidak menjadi penghalang kerana masa anda lebih banyak dihabiskan di masjid. Kelebihan servis yang ada di hotel sekitar mekah ini ialah, kita tidak perlu mengangkat beg bagasi setibanya di hotel kerana pihak pengurusan Andalusia telah menguruskan dengan pihak hotel untuk membawa beg jemaah terus ke dalam bilik masing-masing. Jadi perkhidmatan ini akan memudahkan kita kerana setelah kepenatan dalam perjalanan yang jauh, kita tidak perlu risau untuk mengambil beg dari dalam bas dan berebut untuk menaiki lif dengan membawa beg yang besar. Bayangkan jemaah terlalu ramai jadi urusan membawa beg ke bilik jika tiada kecekapan dalam pengurusan ini boleh membuatkan jemaah beratur lama untuk ke bilik kerana lif tidak boleh menampung kapasiti yang banyak.

Saya dan suami memilih untuk tinggal di bilik berempat dengan jemaah lain supaya kami boleh juga belajar dari orang lain memandangkan ini adalah umrah kami yang pertama kali. Setibanya di bilik rakan-rakan bilik saya sedang nyenyak tidur kerana mereka telah tiba awal dan sudah selesai melakukan umrah. Mutawif kami memberi masa rehat dalam satu jam sebelum kami turun berkumpul di lobi hotel untuk melakukan umrah kerana masih dalam ihram.

Kami memasuki masjid melalui pintu Ajyad paling kanan sekali. Jika diikutkan hotel kami berada dekat dengan pintu King Abdul Aziz. Tetapi memandangkan pintu King Abdul Aziz masih dalam proses ubahsuai. Saya dimaklumkan proses ubahsuai pada pintu tersebut sudah memasuki beberapa tahun kerana pembinaan di masjidil Haram terhenti selepas ada kren yang terjatuh menimpa jemaah. Anda boleh rujuk peta di bawah ini jika ingin mengetahui jarak hotel-hotel yang ada disekitar Masjidil Haram.

sumber dari Tiram Travel

Terdapat 5 rukun umrah dan 2 wajib umrah iaitu:

Rukun Umrah

  1. Niat Ihram di Miqat
  2. Tawaf
  3. Saie
  4. Bertahalul bercukur atau bergunting
  5. Tertib pada semua rukun

Wajib Umrah

  1. Niat Ihram di Miqat
  2. Meninggalkan 13 perkara larangan semasa ihram

Kami sudah berada di dalam ihram kerana sudah bermiqat di Qarnul Manaazil sewaktu di atas udara dan dari tempoh itu kami telah dalam ihram. Ketika ingin masuk ke masjid, kelihatan ribuan manusia yang dari pelbagai pelusuk dunia sedang berduyun-duyun untuk ke masjid bagi melakukan ibadah. Selepas berada di perkarangan masjid, mutawif membawa kami ke Kaabah untuk melakukan ibadah yang seterusnya. Ketika melihat Kaabah yang ada di depan mata, saya terpaku dan seperti tidak percaya kerana panduan kiblat yang selama ini sudah berada di depan mata. Perasaan ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu dan keterujaan melakukan ibadah membuatkan kita lupa tentang keletihan perjalanan walaupun tidak tidur lebih dari 24 jam. Dalam perjalanan cuma dapat tidur sebentar sahaja di dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan ketika dalam bas dari Jeddah ke Mekah. 

Tawaf

Seperti yang telah dipelajari sewaktu kursus umrah. Mutawif membawa kami bermula tawaf di Hajarul Aswad dan seterusnya ialah melakukan tawaf sebanyak 7 kali. Mashaallah terlalu ramainya manusia ketika itu yang menghambakan diri pada Allah yang satu.

Tips:

  • Walaupun begitu padat untuk kita bertawaf, ia akan lebih mudah sekiranya kita mengikut jaluran pusingan tawaf yang kita lakukan.
  • Ikut arus sekiranya anda terpisah dari mutawif.
  • Jangan alihkan bahu kiri dari sisi kaabah dengan memandang ke belakang.
  • Jangan mencari orang ketika anda sedang bertawaf.
  • Terdapat banyak doa yang boleh dibaca ketika sedang bertawaf dan ia lebih mudah jika anda ingat daripada membaca buku kerana anda mungkin akan keliru dengan pusingan yang anda lakukan kerana tidak fokus pada persekitaran kecuali jika pergi dengan mutawif dan secara kumpulan kerana mereka akan menjadi panduan pusingan ke berapa sedang anda lakukan. 
  • Cara mudah ialah baca doa atau ayat alquran yang berbeza di setiap pusingan yang anda lakukan. 
  • Jangan menggunakan telefon ketika beribadah tawaf umrah dan tawaf sunat melainkan anda selesai 7 pusingan.
  • Untuk memudahkan anda keluar dari pusingan bertawaf di Hajarul Aswad, jangan terus keluar ke kanan tetapi teruskan kehadapan kerana selepas itu pusingan akan menjadi kurang sesak. Tetapi jika anda keluar terus dari hajarul Aswad, di situ terlalu padat kerana pertembungan antara jemaah yang baru masuk untuk bertawaf.

Pengalaman saya sendiri ketika menunaikan umrah dengan suami tanpa mutawif, ketika saya membaca doa yang panjang, saya agak keliru dengan pusingan yang saya lakukan. Tetapi nasib baik suami saya ingat kiraan pusingan yang kami lakukan. Saya yang bersaiz agak kecil selalu akan dihimpit oleh ramai orang dan seperti biasa suami saya akan mengepung saya dari himpitan orang ramai. Inilah dia kebaikan sekiranya orang perempuan dapat pergi bersama dengan mahram mereka supaya dapat menjaga kita. Tetapi sekiranya anda pergi bersendirian, tips yang di atas juga dapat membantu. Jangan risau untuk bertawaf kerana walaupun dengan ribuan manusia yang ramai, kita masih lagi dapat menunaikan ibadah kita dengan mudah. 

Saie

Sebaik selesai melakukan tawaf, mutawif membimbing kumpulan saya terus ke Bukit Safwa untuk memulakan saie sebanyak 7 pusingan. 

Tips:

  • Sekiranya kaki anda tidak tahan berjalan kaki atau anda membawa orang yang sudah tua atau uzur, anda bolehlah melakukan saie menggunakan scooter di tingkat 3 ataupun mengambil kerusi roda di tingkat 2. Harga bagi scooter ialah 50 riyal seorang manakala 100 riyal untuk kerusi roda.
  • Bagi perempuan, anda boleh memakai selipar tawaf untuk mengelakkan kaki melecet, sakit dan pecah kerana banyak berjalan. Manakala bagi lelaki, tidak dibenarkan menyarung apa-apa dan mengikut pengalaman suami saya, dia berjalan agak laju dan meninggalkan saya di belakang kerana tidak tahan simen yang sejuk.

Tahalul

Sebaik selesai saie, kami terus bertahalul supaya untuk mengelakkan dikenakan dam jika melanggar pantang larang dalam ihram. Pantang larang ihram masih ada selagi kita tidak bertahalul. 

Ibadah umrah kami selesai hampir pukul 1 pagi waktu arab saudi bersamaan pukul 6 pagi waktu Malaysia. Walaupun hampir 24 jam tidak tidur dan hanya tidur-tidur ayam di atas pesawat, dengan izin Allah saya tidak berasa letih mahupun mengantuk kerana nikmatnya beribadah di Tanah Haram.

Disini saya kongsikan persiapan saya menunaikan umrah dan itinerari sewaktu di Mekah dan Madinah

Link ke halaman seterusnya

Home

Persiapan Menunaikan Umrah

Pengalaman Sebelum Dan Selepas Menunaikan Umrah

 

 

Please share and like our webpage