Musim Luruh – Hari Kedua (Dari Tokyo Ke Kyoto & Osaka-Dotonbori, Shin Imamiya)

Travelog Ke Jepun

Hari Ke Dua – 3 November 

Dari Nippori Ke Kyoto

Sepatutnya saya ke Osaka pada hari pertama lagi. Tetapi memandangkan saya beli tiket kapal terbang pergi balik di Narita dan untuk mengelakkan keletihan selepas penerbangan jauh dari Kuala Lumpur ke Tokyo, saya sekeluarga ke Osaka dan Kyoto pada hari kedua. Jika anda kuat untuk terus ke Osaka selepas touch down di Tokyo pun boleh juga cuma, perjalanan anda akan memakan masa seharian dari pagi hingga ke malam kerana dari Narita kemudian ke Osaka pula.

Pagi ni kami keluar dari hotel Mystays Nippori dan bergerak ke stesen Nippori station untuk ke stesen Tokyo. Destinasi kami seterusnya adalah Osaka. Perjalanan Tokyo ke Osaka mengambil masa selama 3 jam menaiki Shinkansen kerana kami mempunyai JR pass. JR Pass ini tidak boleh dibeli semasa anda berada di Jepun dan ianya hanya boleh dibeli sebelum anda datang ke Jepun. Anda boleh membeli JR Pass daripada syarikat agen pelancongan di Malaysia (agen yang terpilih sahaja) ataupun secara online.

Hotel Mystays Nippori Stesen Nippori   Stesen Tokyo   Stesen Osaka

Memandangkan ianya adalah hari Sabtu dan saya tidak menempah tempat duduk Shinkansen kerana tidak pasti sama ada boleh keluar awal atau lewat dari hotel. Perancangannya ke Osaka dengan mengambil shinkansen yang pertama iaitu pukul 5 pagi.  Tetapi akhirnya keluar dari hotel Mystays di Nippori pada pukul 6 pagi. Ke Osaka saya meninggalkan luggage saya yang besar di hotel jadi bebanan tidak banyak apabila ke Osaka kerana saya akan berpatah balik semula ke Tokyo. Kelebihan tinggal di hotel Mystays Nippori ialah saya boleh meninggalkan luggage yang besar di hotel untuk ke Osaka dan kebanyakan hotel di Jepun ada servis ini kecuali jika anda tinggal di airbnb atau hotel-hotel kecil

Pukul 6 pagi di Jepun
Pukul 6 pagi di Jepun
Perjalanan dari hotel ke stesen keretapi Nippori

Shinkansen 

Kelebihan pergi melancong secara sendiri, kita boleh merancang mengikut masa kita sendiri. Pada mulanya saya ingin terus ke Osaka tetapi saya menukar jadual untuk ke Kyoto dulu dan tiba di Kyoto pada pukul 9 lebih. Dari Nippori kami ke stesen Tokyo untuk menaiki Shinkansen. Ianya adalah pengalaman pertama buat suami dan anak saya. Pasti keterujaan dapat dilihat dari rawak wajah mereka. Stesen Tokyo adalah  yang terbesar dan antara yang tersibuk di Jepun. Terdapat banyak jenis Shinkansen yang ada di Jepun seperti di dalam gambar dibawah yang saya ambil dari Japanstation.com:

Jenis-Jenis Shinkansen

Untuk ke Osaka, saya menaiki Tokaido Shinkansen. Dan terdapat beberapa jenis Shinkansen yang ada seperti

  1. Nozomi – yang paling laju (2 jam 40minit) dan yang paling mahal
  2. Hikari – kelajuan medium (3 jam)
  3. Kodama – paling perlahan kerana ia akan berhenti di setiap stesen (4 jam)

Terdapat pelbagai platform yang ada di sana pelbagai line keretapi yang ada 20 trek keretapi di Ground Floor dan 4 trek keretapi di laluan bawah Tanah Underground. Tumpuan saya terus ke platform Shinkansen untuk ke Kyoto dengan mencari signage Shinkansen iaitu di platform berikut.

Tokkaido/Sanyo Shinkansen berwarna biru, manakala Tohoku dan 4 lagi Shinkansen (Joetsu, Hokuriku, Akita, Yamagata) berwarna hijau.

Menuju ke arah Shinkansen di stesen Tokyo

Di dalam perjalanan ke Osaka saya dan suami terfikir untuk singgah dulu ke Kyoto sebelum terus ke Osaka. Jadi jadual kami berubah sedikit dan akhirnya kami berhenti di Kyoto yang sepatutnya keesokan hari tapi berubah ke hari ini. Perjalanan dari Tokyo ke Kyoto ialah 2 jam 18 minit. Bertolak dari Tokyo lebih kurang dalam pukul 6.30 pagi dan tiba di Kyoto hampir pukul 9.00 pagi. Pemandangan sepanjang perjalanan sangat mempersonakan lebih-lebih lagi apabila melihat Gunung Fuji dari dalam keretapi. 

Bagaimana anda ingin ke Osaka melalui Tokkaido Shinkansen Sanyo Hikari dan melihat Gunung Fuji di dalam Shinkansen

1.Memandangkan perjalanan kami hari ini ialah hari sabtu sebaiknya ambillah shinkansen di awal pagi dari Tokyo. Tokyo merupakan stesen pertama Tokkaido Shinkansen untuk ke beberapa tempat seperti gambar di atas.

2.Setibanya di Tokyo, cari platform JR Shinkansen untuk ke Shin Osaka dan anda tidak perlu beratur jika anda mempunyai JR pass. Sekiranya tiada, anda haruslah beratur untuk membeli single tiket atau return ticket. Return tiket rugi sekiranya anda tidak beli JR pass.

3. Sekiranya anda tidak menempah tempat duduk di dalam Shinkansen, pastikan anda ke gerabak 1 hingga 5. Ada banyak tempat kosong jadi jangan risau jika anda tidak menempah tempat duduk melainkan ianya cuti umum yang panjang di Jepun seperti Golden week di dalam bulan April. Adalah amat sukar untuk mendapat tempat kosong kerana kebanyakan rakyat Jepun juga bercuti pada waktu tersebut. Memandangkan tempat duduk tidak ditempah, sila lihat jadual perjalanan keretapi menggunakan Hyperdia dan didalam applikasi tersebut pastikan anda untick Nozomi/Mizuho / Hayabusa kerana keretapi jenis ini tidak termasuk di dalam penggunaan JR Pass.

Contoh Route Hyperdia

4. Untuk melihat gunung fuji dari dalam Shinkansen pastikan anda duduk di sebelah kanan tempat duduk D dan E.

5. Hikari Shinkansen akan berhenti beberapa station iaitu Tokyo – Shinagawa – Shin Yokohama – Odawara – Nagoya – Kyoto – Osaka

6. Terdapat tandas di dalam Shinkansen.

7. Sekiranya anda lapar adalah lebih baik jika anda boleh membawa makanan sendiri memandangkan perjalanan ke Osaka mengambil masa 3 jam. Di dalam Shinkansen sukar untuk dapat makanan halal. Akan ada pramugari yang datang membawa trolley makanan dan minuman di dalam Shinkansen.

 

Kyoto 

Setibanya di stesen Kyoto, dari Shinkansen saya ke platform JR San- In-Line untuk ke stesen Saga Arashiyama. Tujuan utama saya ke Arashiyama untuk menaiki keretapi Sagano di Saga Arashiyama. Tetapi nasib kami tidak baik kerana kami tidak menempah tiket secara online terlebih dahulu jadi tiket sudah habis dijual dan hanya untuk petang. Terdapat gerabak terbuka iaitu gerabak no.5 untuk melihat pemandangan juga sudah habis dijual. Sebelum ini saya ada baca di internet, untuk gerabak tersebut kena beli sahaja disana  sebab itu saya tidak membeli lebih awal. Jangan datang hari Rabu kerana keretapi ini tidak dibuka kepada pelancong pada hari Rabu. 

Restoran Halal Ramen Factory Kyoto

Memandangkan tiket yang dibeli untuk pukul 3 petang jadi banyak masa lagi untuk kami ke Restoran Ramen Factory untuk makan tengahari. Untuk ke restoran ini, dari stesen Saga Arashiyama pergi ke stesen Tofukuji. Dari stesen Tofukuji ke restoran ini dalam 240m. Restoran ini mesra muslim kerana makanan nya yang halal dan juga disediakan tempat untuk bersolat yang bersih. Ramen yang disediakan juga sangat enak.

     

 

Fushimi Inari

Selepas makan tengahari kami patah semula ke stesen Tofukuji ke stesen Inari untuk ke Fushimi Inari. Hanya satu stesen selepas stesen Tofukuji. Untuk pergi Fushimi Inari lebih dekat turun di Inari station dan berjalan kaki  hingga tiba disana dalam 300m. Kemudian bila balik boleh naik di stesen Fushimi Inari kerana ia lebih dekat. Fushimi Inari adalah temple jadi kami tidak meluangkan banyak masa di sana cuma mengambil gambar dan tanda sudah sampai.

      

 

Arashiyama Bamboo Groove

Selesai menyusuri Fushimi Inari, saya menaiki keretapi di stesen Fushimi Inari Taisha untuk ke stesen Saga Arashiyama semula untuk ke Bamboo Groove. Dari stesen Arashiyama ke Bamboo Groove berjalan kaki dalam 650m dan seterusnya saya sepatutnya ke Togetsukyo Bridge. Sepanjang laluan dari stesen ke Bamboo Groove terdapat ramai orang dan kami menyusuri lorong-lorong dan perkampungan di situ. Seperti yang kita sedia maklum, kebersihan di Jepun amat baik dan sepanjang perjalanan melalui rumah mereka kelihatan hiasan-hiasan pokok-pokok bunga yang cantik dan tidak kelihatan sampah walaupun ada ramai orang ketika itu. Kami juga meletakkan beg luggage kami di satu tempat menyimpan beg  yang berharga 300 Yen untuk sehari dan terdapat juga servis untuk menyewa basikal.

   

Sagano Romantic Train

Tetapi memandangkan masa untuk menaiki keretapi Sagano hampir tiba, saya patah semula ke stesen Arashiyama untuk menaiki keretapi Sagano Romantic train. Keretapi ini terletak bersebelahan dengan stesen Saga Arashiyama.

Berikut ialah route Sagano Romantic train. 

Dari stesen Saga Torokko, kami terus ke stesen Kameoka untuk perjalanan sehala. Pemandangan yang cantik didalam keretapi dalam masa 25 minit. Setibanya di stesen Kameoka Torokko, saya berjalan kaki ke stesen JR Umahori.  Sepanjang laluan kami melalui kawasan sawah padi yang cantik.

  

Kyoto ke Shin Imamiya

Selepas tiba di stesen JR Umahori saya menaiki keretapi semula ke stesen Kyoto untuk ke Osaka menaiki Shinkansen. Saya tidak berhenti di stesen Osaka tetapi di stesen Shin Osaka iaitu satu stesen sebelum stesen Osaka. Pastikan anda  memilih samaada Osaka atau Shin-Osaka ke destinasi yang ingin anda pergi kerana:

1.Stesen Osaka – menggunakan JR line atau; 

2.Stesen Shin Osaka – mengunnakan Midosuji line  

Tempat penginapan saya ialah di Shin Imamiya dan berikut adalah route untuk saya tiba di hotel dari Kyoto.

Route:

Stesen Umahori – stesen Shin Osaka (Shinkansen)

Stesen Shin Osaka – stesen Dobutsuen mae (Midosuji Line)

Stesen Dobutsuen Mae – Hotel FP Grand South Namba (Berjalan Kaki)

Jika anda menggunakan Google Map, pastikan anda memilih stesen yang betul kerana di Shin Imamiya terdapat 3 stesen keretapi seperti dibawah.

1.Stesen Shin-Imamiya Station

  • West Japan Railway Company (JR West)
    • Osaka Loop Line
    • Kansai Main Line (Yamatoji Line)
  • Nankai Electric Railway (NK03)
    • Nankai Main Line
    • Koya Line
2. Shin-Imamiya-Ekimae Station
  • Hankai Tramway Hankai Line (HN52)
3. Dobutsuen-mae Station
  • Osaka Metro
    • Midosuji Line (M22)
    • Sakaisuji Line (K19)

Hotel FP Grand South Namba

Saya menempah hotel di FP Grand South Namba. Terdapat dua hotel FP di Shin Imamiya dan FP Grand South Namba dan FP Hotel South Namba. Kedua-duanya terletak berdekatan dengan stesen Shin Imamiya. Sewaktu saya menempah hotel ini lebih murah dari FP Hotel South Namba.

Selepas saya berehat di bilik dan bersolat dan makan makanan yang dibawa dari Malaysia, kami keluar pada malam itu ke Dotonbori. Tujuan utama saya kerana kami sudah kepenatan iaitu ke sekitar Dotonbori river.  

Dari Stesen Shin Imamiya – Stesen Namba (JR Yamatoji Line) – Berjalan kaki ke Dotonbori sejauh 850m dari stesen keretapi.

 

Selesai di Dotonbori kami pulang ke hotel semula.

Tamatlah hari ke dua kami.

Sila Klik Di Bawah Untuk Jadual Perjalanan Seterusnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *