Musim Luruh – Hari Pertama Ketibaan di Tokyo, Jepun Menggunakan Narita Express (Narita & Shin Okubo)

Travelog ke Jepun

Hari Pertama 2 November 2018 (Jumaat)

Sebelum Berlepas

Kapal terbang kami berlepas ke Jepun pada pukul 8.00 pagi. Kami bertolak dari rumah pada pukul 4 pagi untuk ke KLIA dengan Grab car dan tiba di KLIA dalam pukul 5 pagi. Ada 3 jam sebelum waktu berlepas dan ini membolehkan kami santai sahaja setibanya di KLIA. Sewaktu ke lapangan terbang Ayra waktu itu masih tidur lagi dan kami meninggalkan dia di rumah dengan nenek dan bibiknya. Sebagai ibu, perasaan saya pastilah sedih untuk meninggalkan dia di Malaysia tapi perjalanan kami bermusafir kali ini untuk meneroka bumi ciptaan-ciptaan Allah di bumi Jepun ini dan pengalaman membawanya sebelum ini membuatkan kami membuat keputusan meninggalkan dia di rumah di bawah jagaan pembantu rumah dan neneknya. Nasib baik Ayra rapat dengan bibiknya jadi kami tidak begitu khuatir untuk meninggalkan dirinya. Tetapi itu bukan keputusan yang saya suka ketika kami suami isteri berbincang untuk meninggalkan Ayra kali ini. Saya seorang ibu yang memang sukar untuk berpisah dengan anak-anak. Kerana itulah sewaktu saya mendapat peluang ketika bersama Petronas untuk bekerja di luar negara, satu keputusan yang sukar untuk saya buat kerana perlu meminggalkan anak saya ketika itu yang sulung masih kecil lagi. Syukur alhamdulilah saya kemudian ditugaskan di bahagian projek khas dan hanya bekerja di sekitar Malaysia sahaja. Sewaktu menempah tiket kapal terbang, saya juga tetap mendaftar Ayra di dalam tempahan kami untuk ke Jepun kerana Ayra masih kecil lagi iaitu 2 tahun dan dia akan berkongsi tempat duduk dengan saya. Setelah kami suami isteri berbincang, meninggalkan Ayra di Malaysia adalah yang terbaik jadi saya redha dan berdoa semoga dia selamat di rumah.  

Malam sebelum kami berlepas ke Jepun segala persiapan telah saya siapkan mengikut checklist yang telah saya sediakan. Kebiasaannya saya mengambil masa dalam seminggu untuk pack barang-barang ke luar negara. Urusan barang-barang untuk dibawa dan packing semuanya saya yang uruskan dan suami saya akan memeriksa sekiranya ada yang tertinggal. Walaupun trip kami ini ala-ala backpackers tetapi ternyata bukanlah seperti konsep itu sangat memandangkan kami tinggal di hotel dan penginapan kami di Jepun nanti dekat dengan stesen keretapi. Kami membawa 3 beg iaitu 2 luggage yang setiap satunya besar dan kecil dan satu lagi ialah beg sandang. Klik disini untuk persiapan sebelum melancong ke luar negara bersama keluarga. Setibanya di airport, kami ke kaunter wrapping sebelum check in di kaunter. Pastikan sebelum anda wrapping, pastikan keperluan-keperluan untuk dibawa hand carry telah siap jika tidak nanti luggage akan dibuka semula dan ini akan menyusahkan. Setiap kali kami ke luar negara, saya akan pastikan luggage saya akan di wrap bagi tujuan keselamatan.  Kaunter untuk wrapping terletak di tingkat sama untuk check in.

Setelah check in di kaunter ANA, kami bersarapan di kedai Kopi Time yang terletak bersebelahan dengan surau dan kemudian sebaik waktu subuh kami bersolat subuh dulu sebelum berlepas. 

 

Selepas itu kami ke ruang perlepasan antarabangsa dan polis akan memeriksa boarding pass sebelum ke kaunter imigresen Malaysia. Selepas selesai di kaunter imigresen, untuk menaiki pesawat antarabangsa di KLIA, terus menaiki aero train untuk ke ruang perlepasan antarabangsa (boarding).

Di Dalam Pesawat

Kami menaiki ANA Air ke Narita Tokyo dan perjalanan mengambil masa selama 6 jam 40 minit. Masa yang diambil agak berbeza ketika kami menaiki Air Asia iaitu 7 jam 5 minit. Tempat duduk kami bernombor 30A, 30B dan  30C  dan kedudukannya adalah di sebelah kiri pesawat. Sedikit tips jika anda ingin melihat Gunung Fuji apabila tiba di Tokyo nanti, sebaiknya duduklah di sebelah kiri pesawat seperti yang kami buat dan jangan duduk disebelah sayap pesawat kerana ia akan menghalang penglihatan anda untuk melihat gunung tersebut. Menaiki kapal terbang ANA mempunyai banyak perbezaan dengan kami menaiki kapal terbang Air Asia kerana penerbangan ini dikategorikan sebagai pesawat premium dan saya tidak perlu untuk membuat tempahan secara berasingan untuk makanan dan hiburan kerana ianya sudah ada di dalam pakej kecuali insuran perjalanan yang harus di add on. Memandangkan ANA ialah kapal terbang Jepun, makanan yang disediakan ada yang halal dan tidak halal. Untuk mendapatkan makanan halal, bila-bila sebelum hari berlepas selepas tempahan dibuat, anda haruslah menelefon bahagian khidmat pelanggan ANA atau boleh juga membuat tempahan melalui online untuk menempah makanan halal untuk pergi dan balik di dalam pesawat. Melalui tempahan online anda boleh melihat menu halal yang akan disajikan mengikut tarikh perjalanan anda terbang.

Borang-Borang Sebelum Ketibaan Di Jepun

Sebelum tiba di Narita, di dalam pesawat kami mengisi beberapa borang yang diberi oleh pramugari iaitu Borang Peristiharan Kastam (Custom Declaration Form) dan Disembarkation kad. Nanti saya cerita dua fungsi borang-borang ini. Terdapat beberapa perkara yang kena ambil tahu bila ke Jepun iaitu:

• Jangan bawa buah-buahan dan sayur-sayuran
• Jangan bawa makanan segar yang belum dimasak seperti daging dan sebagainya
• Pastikan anda bungkus makanan dengan baik menggunakan pembungkus makanan 
• Anda harus mengisi borang kastam jika anda membawa beras ke sana

Ketibaan Di Jepun Menggunakan Airport Transfer iaitu Narita Express

Kami tiba di Narita pada pukul 3.40 petang waktu Jepun bersamaan pukul 2.40 malam waktu Malaysia. Selepas mendarat kami keluar dari pesawat dan  berjalan ke arah imigresen Jepun dan ianya sangat mudah anda harus ikut sahaja laluan yang disediakan dan anda akan tiba di kaunter imigresen mereka. 

Proses di imigresen di lapangan terbang Narita begitu cepat jika dibandingkan di Haneda kerana di Narita terdapat banyak kaunter .

Kemudian kami mengambil beg dan mengistiharkan barangan yang kami bawa di bahagian kastam. Proses kedua-dua ini mengambil masa cuma 30 minit lebih cepat dari di Haneda. Selepas semua urusan selesai, kami ke kaunter JR East untuk menukar kupon JR Pass yang telah kami beli di Malaysia iaitu dengan HIS Travel. JR Pass hanya boleh di beli oleh pelancong luar dari Jepun dan kemudian ditukar apabila tiba di Jepun. Sewaktu menukar JR pass kami juga menempah tempat duduk Narita Express untuk ke Tokyo. JR Pass yang kami beli boleh digunakan untuk 7 hari dari hari pertama ianya digunakan. Jadi ini bermakna, hari pertama ini kami sudah menggunakannya sehingga hari ke tujuh nanti dan hari ke lapan hingga ke sepuluh, jika ingin menaiki keretapi kami akan membeli tiket setiap perjalanan. Kami tidak membeli Pasmo atau SUICA memandangkan kami sudah mempunyai JR Pass. Kali ini perjalanan kami sehingga ke Kansai dan saya membeli tiket pergi balik dari lapangan terbang Narita oleh itu kami perlu patah balik semula ke Tokyo. Untuk penjimatan melihat kepada perjalanan kami dari Tokyo – Kansai – Tokyo menggunakan JR pass adalah yang terbaik.

Kami menempah tiket Narita Express dari Narita ke Tokyo dalam satu jam dari masa penebusan JR Pass kami di kaunter JR East.  Anda hanya boleh menebus kaunter JR pass di kaunter JR sahaja. Kami bertolak ke Tokyo pada pukul 5.16 petang dan tempat duduk kami ialah di gerabak no 9 dan tempat duduk kami ialah 6A, 6B dan 6C. Pukul 5 di Jepun sudah gelap dan masa perjalanan dari Narita ke Tokyo ialah satu jam. Sebaik keretapi tiba, kami naik di platform 9 dan luggage harus diletakkan di bahagian belakang dan tidak boleh dibawa bersama di tempat duduk melainkan jika rak beg sudah penuh. Anda boleh rujuk kepada tiket yang anda beli yang mengandungi car no dan waktu tempahan tiket. Waktu kami naik tempat duduk tidak penuh dan rak untuk menyimpan masih lagi kosong. Di luar tidak kelihatan sebarang pemandangan untuk dilihat memandangkan hari telah gelap. 

 

Rujuk halaman Airport Transfer Haneda yang saya kongsikan.  saya lebih suka menggunakan public transport sekiranya saya terus ke tempat penginapan di sekitar Tokyo kerana lebih jimat dan mudah. Di Jepun keselamatan di dalam pengangkutan awam mereka amat ketat dan jangan risau jika beg anda di bahagian belakang. 

Ke Tempat Penginapan Mystays Nippori

Apabila tiba di stesen Tokyo, kami menuju ke arah platform JR untuk ke stesen Nippori kerana kami menempah penginapan di Nippori. Bila tiba di stesen Nippori, terdapat 2 exit iaitu East (Timur) dan West (Barat) seperti didalam gambar dibawah. Di sebelah West tiada escalator mahupun lift sekiranya anda membawa luggage yang banyak agak sukar. Sila keluar di East exit kerana terdapat escalator.

Sewaktu kami tiba di hotel, ada seorang Receptionist yang menyambut kami dan boleh berbahasa English dengan baik. Kami menempah bilik Twin memandangkan kami ada 2 orang dewasa dan 1 kanak-kanak. Bilik hotel di Jepun tidaklah sebesar bilik di Malaysia dan bilik air juga cukup-cukup untuk seorang tetapi amat bersih dan cantik didalamnya. Hotel-hotel di Jepun walaupun bersaiz kecil dibandingkan dengan Malaysia, tetapi kebersihan adalah perkara utama yang mereka utamakan. Pastikan anda memilih hotel yang boleh memerima anda lewat malam jika penerbangan anda lewat kerana hotel kami di Mystays Nippori ini kaunter penyambut tetamu hanya akan dibuka sehingga pukul 10 malam. Jadi anda harus sampai sebelum pukul 10 malam.

     

Antara kelebihan kenapa kami suka tinggal di rangkaian Mystays di Jepun ialah, anda boleh berhubung dengan mereka secara online dan mereka akan menjawab segala pertanyaaan anda. Pekerja bantuan perkhidmatan pelanggandi atas talian juga pandai menulis dan fasih berbahasa ingeris. Kenapa kami suka tinggal disini antara kelebihannya adalah seperti di bawah:

1. Dekat ke stesen keretapi JR

2. Terdapat microwave, air panas, air batu, gula, coffee dan tea (seperti gambar di bawah)

4. Restoran tetapi kami tidak makan di sini memandangkan kami agak ragu dengan makanan dan kandungannya. Kami makan makanan yang kami bawa dari Malaysia.

Makam Malam Di Shin Okubo

Selepas berehat seketika di hotel, saya mengajak suami Shin Okubo untuk makan malam. Perjalanan dari stesen Nippori  ke stesen Shin Okubo ialah 20minit menaiki keretapi JR Yamanote. Setibanya di sana kami ke Nasco Food yang hanya terletak dalam jarak 100 meter dari stesen. Sekiranya anda ke Tokyo dalam bilangan yang ramai adalah lebih baik sekiranya anda tinggal di airbnb atau apartment yang boleh anda memasak. Oleh itu boleh lah ke Shin Okubo untuk dapatkan bahan2 mentah untuk dimasak.Di Shin Okubo anda boleh membeli barang-barang untuk dimasak tanpa was was. Banyak restoran halal yang boleh juga didapati disini yang mana kebanyakannya adalah kedai pakistan, arab dan india. Terdapat juga restoran nasi padang disini iaitu Restoran Merah Putih Cafe di tingkat 2.

Tamatlah hari pertama saya menjejaki bumi Jepun sewaktu musim luruh ini bersama keluarga. Sambung pula untuk aktiviti kami pada hari kedua.

Sila Klik Di Bawah Untuk Jadual Perjalanan Seterusnya

Please share and like our webpage

Leave a Reply

Your email address will not be published.